Selasa, 23 Julai 2019 | 7:02pm
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi

Pendakwa diminta fail permohonan bantah tindakan Najib

KUALA LUMPUR: Pendakwaan diminta mengemukakan permohonan rasmi berhubung tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyiarkan hantaran di laman Facebook mengenai keterangan saksi membabitkan penggunaan kad kredit miliknya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, berkata adalah lebih baik pendakwaan memfailkan permohonan kerana jika tidak, ia akan dianggap sebagai permohonan bagi perintah menghina mahkamah.

Pada awal prosiding, Peguam Negara, Tommy Thomas, yang ditanya Mohd Nazlan mengenai permohonan pendakwaan, berkata pihaknya menuntut hantaran sedemikian tidak dibuat pada masa depan atas alasan bersifat subjudis dan bukan prosiding menghina mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Tan Sri Muhammad Shafee berhujah, tindakan menuntut Najib memohon maaf atas alasan subjudis adalah salah kerana tiada sebab untuk pendakwaan meminta mahkamah menyatakan hantaran berkenaan sebagai subjudis dan meminta Najib memohon maaf.

Peguam itu berkata, sebarang permohonan di mahkamah adalah bagi mendapatkan perintah daripada hakim.

“Kalau mereka tidak meminta perintah atau keputusan daripada Yang Arif, ini adalah salah. Tiada petunjuk menyatakan ini adalah subjudis.

“Hakim bukan penasihat dalam prosiding ini. Pendakwaan tidak boleh minta relif kalau tiada kesalahan. Ini seolah-olah minta dia memohon maaf tetapi dia tidak tahu apa kesalahannya,” katanya.

Tommy berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan rasmi berhubung perkara itu.

Dalam permohonan 18 Julai lalu, Tommy memberitahu mahkamah, Najib memuat naik hantaran menjelaskan berhubung penggunaan kad kredit miliknya dengan menyatakan ia digunakan bagi membeli hadiah untuk kerabat diraja luar negara.

Beliau berkata, Najib melakukan tindakan itu atas kapasiti peribadi dan perlu bertanggungjawab atas perbuatannya.

Sehubungan itu, pendakwaan menuntut permohonan maaf tanpa bersyarat daripada tertuduh atas tindakannya dan satu aku janji untuk tidak mengulanginya.

Berita Harian X