Selasa, 23 Julai 2019 | 5:19pm
Tiga paket plastik berisi dadah jenis syabu seberat 2.85 gram dirampas dari suspek di hadapan sebuah restoran di Pekan Selangau, Mukah. - Ihsan PDRM

Masalah wang dorong guru edar dadah

MUKAH: Masalah kewangan menjadi antara punca seorang guru lelaki terdorong mengedar dadah secara kecil-kecilan sejak awal tahun ini di kawasan ladang sawit di Selangau dan Mukah.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Jimmy Panyau, berkata guru berusia 49 tahun itu antara lima individu yang ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah, kelmarin.

“Turut ditahan adalah isterinya berusia 38 tahun, dua anak berusia sembilan dan 17 tahun serta seorang lelaki warga Indonesia berusia 42 tahun. Mereka ditahan di hadapan sebuah restoran di Pekan Selangau kira-kira jam 11.10 pagi ketika sedang menaiki sebuah kereta.

“Pemeriksaan terhadap sebuah beg di dalam kereta itu, polis menjumpai tiga paket plastik berisi dadah dipercayai syabu seberat 2.85 gram,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jimmy berkata dua anak guru itu dibebaskan selepas keterangan mereka diambil manakala tiga yang lain masih ditahan untuk siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga suspek adalah negatif. Siasatan awal mendapati guru terbabit yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Selangau, mengaku mengedar dadah kerana menghadapi masalah kewangan.

“Malah, bekalan dadah juga diperoleh daripada seorang pengedar di Sibu,” katanya sambil memberitahu ketiga-tiga suspek direman selama empat hari.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pihak IPD Mukah memandang serius permasalahan dadah di Bahagian Mukah dan akan membanteras kegiatan terbabit secara berterusan.

“Orang ramai diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk menangani permasalahan ini secara serius,” katanya.

478 dibaca
Berita Harian X