Selasa, 23 Julai 2019 | 2:16pm

Suami isteri maut rempuh motosikal bergesel

PETALING JAYA: Sepasang suami isteri maut manakala dua lagi parah selepas motosikal ditunggang mereka terbabit dalam nahas di Lebuhraya Persekutuan menghala ke ibu negara, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, Muhammad Hamadi Zakaria, 31, dan isterinya, Nur Syuhadah Zaini, 31, disahkan meninggal dunia di lorong motosikal lebuh raya berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata motosikal jenis Honda ditunggang mangsa Muhammad Hamadi dan Nur Syuhadah yang membonceng, dipercayai merempuh sebuah motosikal jenis Suzuki yang sebelum itu terbabit dalam kemalangan di tengah jalan.


Keadaan motosikal jenis Honda ditunggang mangsa. - Ihsan pembaca

Katanya, Muhammad Hamadi dipercayai tidak sempat mengelak lalu terbabas sebelum merempuh penghadang di kiri jalan.

“Terdahulu, motosikal Suzuki terbabit dikatakan bergesel dengan sebuah motosikal jenis Yamaha lalu terbabas di jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azman berkata, penunggang motosikal Suzuki dan Yamaha masing-masing dikenali sebagai Sainuddin Sukkur, 51, dan Mohd Saad Ismail, 45.

Katanya, kedua-duanya kini ditempatkan di zon merah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan selanjutnya.

“Mayat dua mangsa nahas dibawa ke PPUM untuk proses bedah siasat,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dua maut selepas motosikal ditunggang mereka terbabit dalam nahas di Lebuhraya Persekutuan menghala ke ibu negara. - Ihsan pembaca
Berita Harian X