Isnin, 22 Julai 2019 | 11:00pm
BEKAS Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq

Jho Low 'selesaikan' kad kredit Najib jika ada masalah

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low akan menjadi 'orang tengah' apabila kad kredit bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengalami masalah.

Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu memberitahu Mahkamah Tinggi, kad kredit Platinum Najib tidak diterima ketika hendak membuat pembayaran di butik Chanel di Hawaii, pada 23 Disember 2014.

Joanna yang membacakan transkrip perbualan antara beliau dan Jho Low, berkata ahli perniagaan itu memanjangkan pesanan ringkas yang dihantar oleh Najib berbunyi; “Kad kredit platinum saya tidak diterima. Boleh kamu hubungi Visa dan Mastercard Mastercard Ambank sekarang juga? Terima kasih”.

Saksi ke-54 pendakwaan itu berkata, Jho Low kemudian menulis; “Ia dari MNR, tolong ASAP (secepat mungkin)”.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram, saksi itu berkata, beliau menganggap MNR yang dimaksudkan itu ialah Mohd Najib Razak.

Berikut transkrip perbualan berikutnya yang dibacakan Joanna;

Joanna: Aiyoo. Sistem kad tergendala, akan buat pemeriksaan.

Jho Low: Tolong periksa ASAP. Beliau sedang menunggu.

Joanna: Sudah hubungi mereka. Beritahu budak kad kredit untuk tengok secepat mungkin.

Jho Low: Mustahak, dia di Hawaii mahu caj AS$100,000.

Joanna: Sistem OK. Mereka suruh cuba lagi. Mereka tunggu untuk lepaskan transaksi.

Jho Low: Boleh ke? Mereka sudah periksa kad tu boleh lepas?

Joanna: Mereka sudah periksa dan nampak OK.

Jho Low: Pasti?

Joanna: Nampaknya macam tu.

Jho Low: AS$100,000 dalam satu transaksi tiada masalah?

Joanna: Tiada masalah. Had kad dia RM3 juta.

Jho Low: OK.

Joanna juga membacakan perbualan beliau dengan Jho Low ketika percutian Najib di Itali yang menggunakan kad kreditnya untuk membeli barang kemas di butik mewah De Grisogono.

Joanna berkata, dalam perbualan itu, Jho Low memintanya mengesahkan 24 transaksi kad kreditnya berjumlah RM3.3 juta.

Bagaimanapun, saksi itu berkata, terdapat 16 transaksi kad kredit bagi pembayaran barang kemas berjumlah RM2.64 juta yang ditolak kerana melebihi had.

Berita Harian X