Isnin, 22 Julai 2019 | 8:58pm
Anggota bomba berusaha membantu mangsa yang tersepit selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Bakam, Miri. - Ihsan Bomba

Suami isteri maut kereta tembung kenderaan pacuan empat roda

MIRI: Sepasang suami isteri maut, manakala seorang lagi parah apabila kereta dinaiki mereka bertembung sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Bakam, di sini, semalam.

Nahas kira-kira jam 7.30 malam itu menyebabkan pemandu Perodua Kancil terbabit, Scoot Dyleon Mehsan, 38, dan isterinya, Caroline Anthony, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala serta badan.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.48 malam sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dikejarkan ke lokasi kemalangan.

Setiba di tempat kejadian, beliau berkata, mangsa didapati tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.

“Bomba mengambil masa 45 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

“Seorang penumpang lelaki di dalam kereta terbabit mengalami kecederaan parah tetapi identitinya belum dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kereta itu dalam perjalanan dari Miri menuju ke Sungai Rait sebelum bertembung dengan sebuah Toyota Hilux dari arah Bintulu.

“Bagaimanapun, lelaki yang memandu Toyota Hilux hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Unit Forensik, Hospital Miri, untuk bedah siasat.

“Mangsa yang cedera parah turut dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya.

532 dibaca
Berita Harian X