Isnin, 22 Julai 2019 | 3:38pm
Jho Low meminta akaun semasa Ambank milik Datuk Seri Najib Razak dikenali berdasarkan kod nama bagi mengekalkan kerahsiaan. - Foto fail

Jho Low minta letak kod nama pada akaun semasa Najib - Saksi

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan yang menjadi buruan pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low, meminta akaun semasa Ambank milik Datuk Seri Najib Razak dikenali berdasarkan kod nama bagi mengekalkan kerahsiaan.

Perkara itu didedahkan bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping, 48, yang turut memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bahawa kod nama bagi akaun semasa milik Najib adalah ‘AmPrivate Banking-MR’.

Saksi ke-54 pendakwaan itu yang membacakan pernyataan saksi berkata, Jho Low meminta supaya akaun semasa Najib dikenal pasti berdasarkan nombor akaun dan bukan nama pemilik akaun.

“Saya kemudian memeriksa dengan bahagian operasi Ambank sama ada perkara itu boleh dilakukan.


Joanna hadir perbicaraan Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan penyelewengan dana SRC International. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

“Saya dimaklumkan kod nama boleh diberi, namun akaun perlu mengekalkan identiti pemiliknya,” katanya.

Joanna berkata, kod nama itu adalah yang pertama diberikan kepada mana-mana akaun persendirian.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti siapa yang memberikan kod nama itu.

“Saya kemudian dimaklumkan oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Cheah Tek Kuang, bahawa Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) turut dimaklumkan mengenai perkara itu,” katanya.

Dalam pada itu, Joanna berkata, tiga akaun semasa Ambank milik Najib menerima jumlah transaksi tinggi membabitkan kemasukan dana yang banyak, termasuk dari luar negara dalam mata wang asing, antara 2011 hingga 2015.

Beliau berkata, menurut bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil, dana dari luar negara yang diterima itu adalah ‘hadiah’.

Bagaimanapun, katanya, sebarang pindahan masuk dana dari luar negara perlu dilaporkan kepada BNM.

“Nik Faisal adalah pemegang mandat akaun ini. Jadi, saya kemudian bertanya kepada Nik Faisal mengenai kemasukan dana itu dan beliau menjawab ia adalah ‘hadiah’,” katanya pada hari ke-41 prosiding.

Joanna berkata, pada 2011, Najib mempunyai satu akaun simpanan dan satu akaun semasa, selain dua kad kredit dengan Ambank.

Bagaimanapun, katanya, sekitar Jun atau Julai 2013, beliau dimaklumkan oleh Nik Faisal bahawa Najib mengarahkan untuk menutup kedua-dua akaun simpanan dan semasa miliknya serta membuka tiga akaun baharu.

Beliau berkata, pada 20 Jun 2013, Najib mengeluarkan surat mandat kepada Nik Faisal bagi membenarkan beliau mengambil buku cek dan penyata bank dalam tiga akaun.

“Nik Faisal juga dibenar menjalankan transaksi perbankan, mengambil buku cek, penyata bank dan memberi arahan bertulis mengenai draf bank serta overdraf berhubung tiga akaun milik Najib.

“Pada 2013, Najib sekali lagi mengeluarkan surat mandat bertarikh 26 Ogos, yang membenarkan Nik Faisal memindahkan wang antara ketiga-tiga akaun semasa miliknya,” katanya di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International yang dihadapi Najib.

Joanna turut memberitahu mahkamah, ketiga-tiga akaun semasa milik Najib sentiasa mengalami masalah pengeluaran berlebihan dan pihak Ambank perlu menunggu sehingga wang dimasukkan sebelum melepaskan bayaran cek yang dibuat Najib.

Beliau berkata, pada 3 Mac 2015, Najib mengeluarkan arahan untuk membatalkan kedua-dua kad kredit miliknya.

Bagaimanapun, katanya, pembatalan itu tidak boleh dilakukan berikutan baki pada kedua-dua kad itu masih belum dijelaskan.

“Saya kemudian memaklumkan perkara itu kepada Nik Faisal dan beliau membuat pembayaran pada 10 Mac 2015, sebelum kedua-dua kad kredit itu dibatalkan pada keesokan harinya.

“Pada 3 Mac 2015, Najib mengeluarkan arahan untuk menutup ketiga-tiga akaun semasa miliknya yang dibuka pada 2013 dan memindahkan baki wang kepada Syarikat Ihsan Perdana Sdn Bhd,” katanya.

1326 dibaca
Berita Harian X