Isnin, 22 Julai 2019 | 1:36pm
Aksi kanak-kanak yang menjadi viral di Facebook selepas beberapa gambar dan video dimuat naik dalam laman sosial itu dikongsi pelbagai pihak sejak semalam.

Pemandu bawa kanak-kanak di but kereta ditahan

JOHOR BAHRU: Polis sudah menahan lelaki yang memandu sebuah kereta dengan tiga kanak-kanak melakukan aksi berbahaya berpaut pada but kenderaan itu di Taman Nusa Damai, Pasir Gudang dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah, berkata pihaknya menahan lelaki berusia 49 tahun itu pada jam 7.45 malam.

“Tiga kanak-kanak lelaki berusia antara 10 hingga 12 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu juga dipanggil dan diambil kenyataan.


Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah. - Foto Zain Ahmed

“Polis turut merampas kereta yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan. Suspek direman hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, Razali Wagiman, berkata seorang daripada tiga kanak-kanak itu adalah anak suspek berusia 10 tahun, manakala dua lagi anak jiran mereka.

“Ketika pasukan JPJ dan polis tiba di kediaman suspek, kenderaan yang digunakan dalam kejadian berkenaan berada di rumah itu.

“Lelaki itu mengaku memandu kereta berkenaan pada jam 3.30 petang kelmarin dengan membawa tiga kanak-kanak termasuk anaknya duduk serta bergayut di but kenderaan itu.

“Dia juga mengaku tidak mematuhi isyarat lampu merah di jalan berkenaan.

“Lelaki berkenaan mendakwa melakukan aksi itu bagi memenuhi permintaan anaknya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, JPJ turut mengeluarkan dua saman masing-masing kerana cuai ketika memandu dan gagal mematuhi isyarat lampu merah terhadapnya.

Aksi kanak-kanak terbabit menjadi viral di Facebook selepas beberapa gambar dan video dimuat naik dalam laman sosial itu dikongsi pelbagai pihak sejak semalam.

Berita Harian X