Isnin, 22 Julai 2019 | 1:21pm

Banyak duit masuk akaun Najib antara 2011, 2015

KUALA LUMPUR: Tiga akaun semasa Ambank Datuk Seri Najib Razak menerima jumlah transaksi tinggi membabitkan kemasukan dana yang banyak termasuk dari luar negara dalam mata wang asing antara tahun 2011 dan 2015.

Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping, 48, yang memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi berkata, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil, memaklumkan dana dari luar negara yang diterima itu adalah ‘hadiah’.

Saksi ke-54 pendakwaan itu yang membacakan pernyataan saksi, bagaimanapun, berkata sebarang pindahan masuk dana dari luar negara perlu dilaporkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

“Nik Faisal adalah pemegang mandat akaun ini... Jadi saya kemudian bertanya kepada Nik Faisal mengenai kemasukan dana itu dan beliau menjawab ia adalah ‘hadiah’,” katanya pada hari ke-41 prosiding, hari ini.

Joanna berkata, pada tahun 2011, Najib mempunyai satu akaun simpanan dan satu akaun semasa, selain dua kad kredit dengan Ambank.

Bagaimanapun, katanya, sekitar Jun atau Julai 2013, beliau dimaklumkan oleh Nik Faisal bahawa Najib mengarahkan untuk menutup kedua-dua akaun simpanan dan semasa miliknya dan membuka tiga akaun baharu.

Katanya, pada 20 Jun 2013, Najib mengeluarkan surat mandat kepada Nik Faisal membenarkan beliau mengambil buku cek, penyata bank bagi tiga akaun baharunya itu.

“Nik Faisal juga dibenarkan menjalankan transaksi perbankan, mengambil buku cek, penyata bank dan memberi arahan bertulis mengenai draf bank serta overdraf berhubung tiga akaun milik Najib.

“Pada 2013, Najib sekali lagi mengeluarkan surat mandat bertarikh 26 Ogos yang membenarkan Nik Faisal memindahkan wang antara ketiga-tiga akaun semasa miliknya,” katanya di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC yang dihadapi Najib.

Saksi, Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu hadir perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan penyelewengan dana SRC International. - Foto Zunnur Al Shafiq
Berita Harian X