Isnin, 22 Julai 2019 | 11:35am
Rakaman video yang tular membabitkan penunggang motosikal dikatakan bertindak agresif selepas melanggar kenderaan anggota trafik di Persiaran Brash berhampiran Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz. - Foto ihsan media sosial

2 remaja ditahan cuba lari selepas langgar motosikal anggota trafik - Polis

IPOH: Polis menjelaskan dua penunggang motosikal yang ditahan di Persiaran Brash berdekatan Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, di sini, semalam, cuba melarikan diri dan bertindak agresif selepas melanggar kenderaan anggota trafik.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, dalam satu kenyataan media, malam tadi, berkata kejadian berlaku ketika Op Bersepadu Samseng Jalanan dijalankan di kawasan berkenaan.

Katanya, dua remaja lelaki berumur 17 tahun dan beralamat di Meru itu kemudian disaman atas kesalahan mengubah suai kenderaan, tiada lesen memandu dan memotong secara berbahaya.

Beliau berkata, terdahulu dua anggota trafik diarahkan menghala ke lokasi operasi sebelum membunyikan siren supaya kenderaan datang dari arah hadapan berhenti.

“Selepas beberapa kenderaan berhenti, tiba-tiba anggota trafik berkenaan nampak dua motosikal datang dari arah bertentangan dengan laju dan ditunggang secara zig-zag serta berbahaya menuju ke arah mereka sebelum melanggar motosikal anggota terbabit.

“Akibat perlanggaran itu, seorang anggota trafik terjatuh dari motosikal sebelum anggota membuat tangkapan ke atas kedua-dua penunggang motosikal terbabit kerana mereka cuba melarikan diri dan bertindak agresif,” katanya.

Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi 30 saat tular melalui media sosial sejak petang semalam dengan perakamnya mendakwa anggota trafik memukul seorang remaja lelaki yang ditahan Persiaran Brash.

Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata, hasil ujian saringan air kencing dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagaimanapun mendapati kedua-dua remaja itu negatif dadah dan mereka dibenarkan balik selepas tindakan diambil.

596 dibaca
Berita Harian X