Ahad, 21 Julai 2019 | 10:39pm
ANGGOTA bomba memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di Jalan Sungai Saim, Kampung Rantau Panjang. - Foto Faiz Anuar

Kebakaran sampah dipadam sepenuhnya

KLANG: Selepas lima hari berkampung, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berjaya memadam sepenuhnya kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di Jalan Sungai Saim, Kampung Rantau Panjang, di sini.

Ketua JBPM Zon Klang, Samsol Maarif Saibani, berkata pihaknya memulakan proses pemadaman pada pagi Rabu lalu dan selesai pada jam 3.30 petang tadi.

“Sebanyak 0.8 hektar daripada empat hektar tanah milik kerajaan ini terjejas dalam kebakaran kali ketiga yang bermula pada hari Selasa lalu.

“Kita bahagikan kawasan yang terjejas ini kepada dua sektor iaitu A dan B. Sektor A sudah dipadam sepenuhnya pada semalam, manakala Sektor B selesai dipadam pada jam 3.30 petang tadi,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, tempat berkenaan sudah terbakar dua kali sebelum ini dan pihaknya percaya ia berpunca daripada pencari barang yang boleh dikitar semula.

Katanya, bomba menggunakan kaedah ‘water break’ untuk memastikan api tidak terus merebak ke kawasan lain.

“Selepas selesai proses pemadaman, kami menyerahkan kawasan ini kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk tindakan susulan kerana ia tanah milik kerajaan.

“Kami meminta agar pihak MPK dan Pejabat Tanah Daerah membuat pemantauan berkala di lokasi, memasang pagar berduri serta memohon Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor untuk mencadangkan penempatan pasukan RELA untuk mengawasi lokasi sehingga proses memasang pagar selesai.

“Pelebaran dan mendalamkan longkang juga perlu bagi mengelakkan lori sampah masuk serta kerjasama daripada ketua kampung agar memantau jika ada pihak menceroboh kawasan,” katanya

Samsol berkata, proses pemadaman itu dilakukan oleh 16 anggota dan pegawai JBPM daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya, Bukit Raja dan Sungai Pinang.

Katanya, agensi kerajaan lain yang turut membantu ialah MPK, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pejabat Tanah dan Daerah Klang serta Unit Pengurusan Bencana Negeri.

Berita Harian X