Ahad, 21 Julai 2019 | 5:54pm
WANITA berusia 56 tahun ditangkap oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Stanford View, Bau untuk membantu kes penemuan mayat dalam bagasi. NSTP/Ihsan PDRM

Suspek kedua diberkas

BAU: Suspek kedua kes bunuh lelaki yang mayatnya ditemui di dalam beg di Kampung Pengkalan Baik, di sini, kelmarin, ditahan polis.

Wanita berusia 56 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Stanford View di sini, jam 9.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan suspek kedua itu.

“Seorang lagi suspek ditahan dan direman tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut.

“Suspek pertama pula ditahan beberapa jam selepas penemuan mayat dilaporkan,” katanya di sini, hari ini.

Kelmarin, orang awam yang sedang menangkap ikan menemui satu beg terapung di sungai di kampung berkenaan, kira-kira jam 6 petang.

Selepas beg ditarik oleh pihak bomba dari sungai itu, ia mengeluarkan bau busuk dan darah keluar daripadanya dan ketika dibuka, mayat lelaki lengkap berpakaian dengan mata ditutup pita pelekat ditemui di dalamnya.

5244 dibaca
Berita Harian X