Ahad, 21 Julai 2019 | 11:46am
PENUNGGANG motosikal maut, manakala dua lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di KM430.4 Lebuhraya Utara-Selatan, 2.30 pagi tadi. Foto Ihsan Pembaca.

Remaja maut lumba motosikal di lebuhraya

HULU SELANGOR: Seorang remaja lelaki maut manakala dua lagi rakannya cedera selepas terbabit dalam kemalangan ketika sedang berlumba di Kilometer 430.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, awal pagi tadi.

Kejadian pada jam 2.30 pagi itu membabitkan lima kenderaan iaitu tiga motosikal dengan sebuah lori dan kereta.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Azman Ab Rahman, berkata tiga remaja berusia 18 dan 19 tahun itu masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha LC135, Yamaha 125Z serta Lagenda.

Katanya, kemalangan berlaku ketika remaja terbabit menunggang motosikal dan berlumba dari Sungai Buaya menuju ke Bukit Beruntung.

“Sampai di lokasi kemalangan, penunggang Yamaha LC135 melanggar belakang lori jenis Nissan di lorong kiri sebelum terjatuh, dua lagi motosikal Yamaha 125Z dan Lagenda tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang Yamaha LC135 di lorong kiri.

“Kemudian datang kereta jenis Nissan Sentra dari arah belakang dan melanggar dua daripada motosikal itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azman berkata, penunggang motosikal Yamaha LC135 berusia 18 tahun meninggal dunia di tempat kejadian sementara dua lagi penunggang cedera luka di muka dan kaki.

Katanya, pemandu lori dan kereta tidak mengalami sebarang kecederaan serta kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X