Sabtu, 20 Julai 2019 | 9:34pm
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Polis cari saksi dua kemalangan maut di NPE, NKVE

KUALA LUMPUR: Polis memohon saksi bebas untuk tampil membantu siasatan berhubung dua kemalangan maut di dua lebuh raya utama di Petaling Jaya, dekat sini, semalam dan pagi tadi.

Dalam kemalangan pertama kira-kira jam 3.25 petang semalam, seorang penunggang motosikal berusia 19 tahun maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) berhampiran susur keluar ke Jalan Klang Lama menghala ke ibu negara.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata mangsa yang bekerja sebagai kelindan van dikatakan merempuh belakang sebuah kereta Honda City yang berhenti di lorong paling kiri kerana mengalami kecemasan.

“Akibatnya, mangsa tercampak di lorong kedua lebuh raya sebelum dilanggar sebuah PERODUA Alza yang tidak sempat mengelak.

“Mangsa yang parah di kepala sempat dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan ambulans.

“Bagaimanapun, mangsa Muhammad Shakir Zufayri Ramli beralamat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Permai, Jalan Pantai Dalam disahkan meninggal dunia sebaik tiba di pusat perubatan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan mendapati tiada saksi bebas atau rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika kejadian.

Dalam kemalangan pagi tadi, seorang jurujual kereta maut selepas kereta PERODUA Myvi dipandunya terbabas dan merempuh pembahagi jalan di KM 14.1 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) berhampiran susur ke Plaza Tol Subang dekat sini.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa Ang Pei Xuan, 24, dari Taman Rambai Indah, Jenjarom, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

“Mayat mangsa dihantar ke PPUM untuk proses bedah siasat.

“Buat masa ini, punca sebenar kemalangan masih disiasat selain sampel darahnya diambil untuk ujian toksikologi,” kata Mohd Zani.

Katanya, polis memohon saksi bebas untuk kedua-dua kes kemalangan tampil bagi membantu siasatan.

“Saksi boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Inspektor Mohd Nazreen Nasharuddin di talian 010-2105101.

“Kedua-dua kemalangan ini disiasat mengikut Seksyen 41 dan 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X