Sabtu, 20 Julai 2019 | 3:16pm
Bagasi mengandungi mayat dijumpai pemancing di jambatan Kampung Pengkalan Baik, Bau. - Ihsan Bomba

Seorang suspek ditahan susulan kes penemuan mayat dalam beg

BAU: Seorang suspek disyaki terbabit kes pembunuhan seorang lelaki yang mayatnya ditemui disumbat dalam bagasi di Kampung Pengkalan Baik, di sini ditahan polis malam tadi.

Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau malam tadi, bertindak atas maklumat risikan.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

“Seorang suspek sudah ditahan dan perintah reman sedang dimohon bagi membantu siasatan kes pembunuhan ini,” katanya.

Poge berkata, pengecaman mayat juga sudah dibuat isteri mangsa di Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini berdasarkan pakaian dan kasut dipakai lelaki itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang semalam, orang awam yang sedang menangkap ikan menemui satu bagasi terapung di Sungai Kampung Pengkalan Baik, di sini.

Selepas ditarik ke anggota bomba ke tebing sungai, beg berkenaan mengeluarkan bau busuk, selain darah.

Apabila dibuka, mayat seorang lelaki berpakaian lengkap, dengan tangan diikat dan mata ditutup pita pelekat ditemui dalam beg berkenaan.

2239 dibaca
Berita Harian X