Sabtu, 20 Julai 2019 | 12:49am

Bagasi mengandungi mayat lelaki ditemui

BAU: Seorang lelaki menemui sebuah bagasi mengandungi mayat ketika menangkap ikan di Jambatan Kampung Pengkalan Baik, di sini, semalam.

Susulan itu, lelaki berkenaan melaporkan kejadian kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan bagasi terapung di bawah jambatan kampung itu pada jam 6 petang.

“Selepas beg ditarik keluar dari sungai oleh pihak bomba, ia didapati mengeluarkan bau busuk dan darah.

“Apabila dibuka, satu mayat lelaki lengkap berpakaian dengan mata ditutup pita pelekat dijumpai,” katanya ketika dihubungi.

Poge berkata, identiti mayat itu belum dikenal pasti, setakat ini, dan kes masih dalam siasatan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Ebby Hirwandy Sarbini, berkata seramai 14 anggota ke lokasi kejadian.

2048 dibaca
Berita Harian X