Jumaat, 19 Julai 2019 | 9:41pm
Pencemaran bau dikesan di muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Selangor 2 (SSP2).

3 LRA dihenti tugas, ERP Kod Merah diaktifkan

SHAH ALAM: Pencemaran bau dikesan di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2 dan SSP3 dengan bacaan 4 Ton direkodkan sekitar jam 2 hingga 2.30 petang tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman, berkata susulan itu, tiga loji utama berkenaan terpaksa dihenti tugas dan pihaknya mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Merah.

Berikutan insiden itu, katanya, perancangan bagi kerja pembaikan LRA SSP1 yang dijadualkan pada 23 Julai ini, ditangguhkan.

Beliau berkata, kejadian berkenaan juga menyebabkan sebanyak 1,133 kawasan membabitkan 1,166,842 akaun pelanggan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Memandangkan insiden ini membabitkan henti tugas tiga loji utama dengan skala kawasan terjejas yang besar, Air Selangor mengaktifkan ERP Kod Merah.

“Pihak kami juga sudah memaklumkan insiden ini kepada kerajaan negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta menghubungi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor bagi membantu kami menangani situasi ini,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Suhaimi berkata, pada jam 5 petang tadi, pihaknya mengesan kadar bau di muka sauk LRA SSP3 mencatatkan bacaan bau ton sifar dan sudah kembali beroperasi.

“LRA SSP1 dan SSP2 baru saja mencatatkan ton sifar pada jam 7 malam dan dalam proses pengoperasian semula.

“Memandangkan kami dan pihak berkuasa negeri masih tidak dapat mengesan punca pencemaran, insiden ini mungkin boleh berulang.

“Oleh itu, kami tidak dapat memberikan jangka masa pemulihan bekalan air buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memohon maaf atas segala kesulitan dihadapi semua pelanggan akibat insiden berkenaan.

1318 dibaca
Berita Harian X