Jumaat, 19 Julai 2019 | 6:35pm
ANGGOTA polis menutup mayat Haslinda Haraji yang maut dalam kemalangan di persimpangan Jalan Hamzah Alang, Meru, hari ini. - Foto ihsan pembaca

Anak minta doakan dia selamat, sebelum maut digilis lori

KLANG: ‘Mak, doakan saya balik tengah hari nanti dengan selamat’. Itu pesanan terakhir seorang gadis sebelum maut dengan hampir separuh badannya hancur digilis lori di persimpangan Jalan Hamzah Alang, Meru, hari ini.

Mangsa, Haslinda Haraji, 24, disahkan maut di tempat kejadian berikutan kecederaan parah.

Abang mangsa, Sakaran, 35, berkata lima minit sebelum kejadian, Haslinda membonceng motosikal yang ditunggang rakannya yang juga seorang anggota tentera udara, Amirul Fikri Daniel Afan, 19.

“Sebelum keluar, dua kali adik minta emak mendoakan dia selamat pulang ke rumah.

“Bila emak tanya kenapa cakap macam itu? Adik cuma cakap doakan saja dia selamat,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini.

Sakaran berkata, lima minit selepas itu, ibunya yang berada di rumah dikejutkan berita Haslinda maut akibat kemalangan.

Katanya, jarak antara tempat kejadian dengan rumah mereka adalah kira-kira satu kilometer.

“Saya tidak tahu adik mempunyai kawan lelaki. Mengikut cerita emak, adik merancang untuk bertunang dengan tentera itu hujung tahun ini.

“Kejadian ini mengejutkan kami kerana kami 10 beradik amat rapat namun reda dengan ujian ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Nurulhuda Mohd Salleh, berkata kemalangan pada jam 11.30 pagi tadi itu berlaku selepas motosikal ditunggang Amirul Fikri bergesel dengan sebuah lori dipercayai lori pasir.

Katanya, akibat geselan itu, Haslinda yang membonceng motosikal itu terjatuh dan digilis serta terheret beberapa meter hingga menyebabkan kecederaan parah di bahagian badan.

“Penunggang motosikal pula patah tangan kanan dan cedera di bahu kanan dan kini menerima rawatan di HTAR.

“Pihak polis masih mengesan lori terbabit kerana difahamkan pemandu itu melarikan diri selepas kemalangan,” katanya sambil meminta saksi yang melihat tampil ke balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X