Jumaat, 19 Julai 2019 | 5:56pm

Harimau jilat dua kali

DUNGUN: “Allah matilah aku." Itu kata Abdul Fatah Wan A Rahman, 68, selepas terjatuh sebelum dihampiri harimau di Kampung Besul Lama bukit Besi, petang semalam.

Pesara Pejabat Kesihatan itu berkata, dia sempat dua kali menolak muka harimau terbabit sebelum haiwan itu menjilat bahu kirinya dua kali.

Katanya, sebelum kejadian dia dan isteri, Zarina Ahmad Khan, 59, ke lokasi itu kira-kira jam 3 petang selepas mendapat tahu ada dua harimau jinak di situ.

“Kami sempat melihat harimau itu berehat di halaman rumah seorang penduduk.

"Ramai penduduk kampung menyaksikan harimau itu, sebab itu saya dan isteri berani ke situ," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Serena, Bukit Besi, di sini, hari ini.

Beliau berkata ketika itu ada juga seorang lelaki dipercayai bomoh turut hadir ke lokasi berkenaan bagi menghalau harimau untuk masuk ke dalam hutan.

"Sewaktu harimau itu bangun dan berjalan ke atas jalan keadaan menjadi kelam kabut apabila orang ramai melarikan diri.

"Saya juga turut lari menyelamatkan diri sebelum tersandung dan jatuh di atas jalan serta dihampiri harimau berkenaan.

"Saya menolak muka haiwan itu sebanyak dua kali dan ketika itu sangat takut akan menjadi mangsa harimau terbabit," katanya.

Abdul Fatah berkata, isterinya ketika itu tidak dapat membantu kerana menyelamatkan dua kanak-kanak yang berada di lokasi.

"Isteri selamatkan budak itu kerana bimbang mereka dicederakan haiwan terbabit.

"Syukur kerana saya tidak diapa-apakan dan hanya cedera di bahagian siku serta ibu jari kaki kiri akibat terjatuh saja, "katanya.

Warga emas Wook Mohd Noor, 63, pula cemas apabila seekor harimau muncul di depan pintu rumahnya di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, di sini, pagi semalam.

Katanya, dia membuka pintu apabila mendengar bunyi bising haiwan ternakannya sekitar jam 7.15 pagi.

Katanya, sebaik buka pintu dia terkejut dan cemas melihat seekor harimau di depan pintu.

“Makcik orang pertama melihat harimau itu dan ia berada dalam jarak 15 kaki (lima meter) dari saya.

“Harimau itu nampak garang, tetapi ia kemudian berjalan keliling rumah hampir sejam.

“Inilah kali pertama makcik berdepan dengan harimau dan sehingga kini takut keluar rumah,” katanya.

Beliau mendakwa sebelum ini juga pernah mendengar bunyi harimau mengaum pada waktu malam kerana rumahnya terletak berhampiran hutan.

“Biasa dengar ia mengaum saja, tapi semalam mak cik tak sangka berdepan dengan harimau itu,” katanya.

Suzana Mustafa, 26, pula berkata dia sangat berharap supaya haiwan itu segera ditangkap kerana penduduk cemas selagi haiwan itu berkeliaran.

Katanya, dia juga turut berdepan detik cemas apabila dikejar harimau terbabit ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya semalam.

“Saya sangat trauma dan malam tadi tidak dapat tidur nyenyak teringatkan kejadian itu. Nasib baik saya berjaya mengawal motosikal dengan baik sepanjang 300 meter dikejar harimau itu.

“Kalaulah saya terjatuh dalam kejadian itu saya tak tahu apa akan terjadi pada kandungan anak kedua saya ini,” katanya yang mengandung enam bulan.

“Kalau boleh biarlah kakitangan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) tingkatkan operasi sepanjang masa sehingga haiwan itu segera ditangkap.

“Saya takut ke tempat kerja kerana melalui jalan itu. Tapi itulah satu-satunya jalan yang ada,” katanya.

ABDUL Fatah Wan A Rahman bersama isterinya, Zarina Ahmad Khan menunjukkan videonya terjatuh sebelum dihampiri harimau di Kampung Besul Lama. - Foto Imran Makhzan
Berita Harian X