Jumaat, 19 Julai 2019 | 12:03pm

Jurukamera sambilan RTM menang saman, terima RM114,470

GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, memerintahkan syarikat GMP Kaiser (M) Sdn Bhd membayar ganti rugi bernilai RM114,470 kepada jurukamera sambilan RTM, Mohamad Amirul Amin Mohamed Amer.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail memerintahkan syarikat terbabit selaku defendan kedua membayar ganti rugi am sebanyak RM70,000 dan kos bernilai RM30,000 selepas membenarkan tuntutan saman dikemukakan Mohamad Amirul Amin, 31, selaku plaintif.

Dalam penghakimannya, Hadhariah berkata, kesalahan harus ditanggung defendan kedua sebagai pihak yang perlu memastikan senjata api dibekalkan kepada pekerjanya iaitu pengawal peribadi, Jaafar Haalid, yang juga defendan pertama dalam kes itu diguna dengan betul dan bertanggungjawab.

“Dalam kes ini senjata api ini dibekalkan defendan kedua dan syarikat ini yang upah defendan pertama. Ini satu risiko boleh dijangka.

“Saya menolak pembelaan pihak defendan kedua menyatakan tidak tahu kerana defendan pertama baru dua hari bekerja. Defendan kedua tidak boleh bercakap tidak tahu dan perlu bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah juga mendapati alasan diberikan defendan kedua yang menyalahkan Mohamed Amirul Amin kerana pergi menolong dalam kejadian terbabit adalah tidak munasabah.

“Ia tidak munasabah. Sekiranya plaintif nampak defendan pertama memegang pistol, sudah tentu dia tidak akan pergi ke tempat itu.

“Dalam kes ini defendan kedua bertanggungjawab terhadap tindakan defendan pertama, selain defendan kedua didapati menghantar pistol digunakan defendan pertama ke syarikat logam sekerap, tanpa mengikut garis panduan ditetapkan Kementerian Dalam Negeri,” katanya.

Mohamad Amirul Amin memfailkan saman itu pada 1 Jun 2018 dengan mendakwa beliau ditembak defendan pertama ketika beliau mendekati seorang individu yang disangka mangsa kemalangan jalan raya berikutan badannya berlumuran darah dan duduk di atas jalan raya.

Dalam tuntutannya, beliau berkata defendan pertama menggunakan senjata api pistol jenis “Glock” dan menembak majikannya hingga mati, selain turut melepaskan tembakan hingga mengakibatkan dua individu lagi terkorban manakala empat lagi cedera parah.

Mohamad Amirul Amin menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am agi bagi kesakitan dan penderitaan, ganti rugi teruk dan lain-lain relief dan/atau perintah dianggap wajar oleh mahkamah.

Beliau diwakili peguam Simon Murali manakala GMP Kaisar Security (M) Sdn Bhd diwakili peguam Mohamad Nor Azam Rashid dan Samry Masri.

Jaafar kini dalam tahanan di Penjara Pulau Pinang kerana menghadapi sembilan pertuduhan jenayah yang sedang dibicarakan di mahkamah.

8201 dibaca
Jurukamera RTM, Mohamad Amirul Amin Mohamed Amer, 31, semasa hadir di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, dalam kes saman yang difailkannya terhadap pengawal peribadi, Jaafar Haalid dan syarikat GMP Kaisar Security (M) Sdn Bhd berhubung insiden tembakan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu tiga tahun lalu. Mohamad Amirul yang cedera ditembak memperoleh ganti rugi RM114,470 selepas menang dalam kes samannya. - Foto Danial Saad
Berita Harian X