Khamis, 18 Julai 2019 | 9:44pm
MOHAMAD Harun menunjukkan arah kehadiran seekor harimau yang mengejarnya sebelum dia terjun ke dalam sungai di depan rumahnya di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, petang tadi. NSTP/Rosli Ilham

Detik cemas dijilat, nyaris diterkam harimau

DUNGUN: Seorang penduduk mendakwa berdepan detik cemas apabila badannya dijilat dan nyaris diterkam harimau yang muncul di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, di sini, hari ini.

Mohamad Harun, 61, juga mendakwa mengetuk kepala harimau itu dengan kuat dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu yang berlaku ketika beliau melakukan kerja membaiki rumah.

“Ketika itu, saya memegang tangga sambil mendongak melihat anak, Amizan, 22, membaiki bumbung rumah.

“Tiba-tiba, bahagian belakang saya terasa basah seperti dijilat dan menyangka anak bongsu bermain di belakang.

“Selepas dua kali mengetuknya, saya terasa ia berbulu. Sebaik sahaja menoleh, saya terkejut melihat seekor harimau setinggi lebih satu meter di belakang,” katanya.

Mohamad berkata, beliau terus menjerit dan berlari ke dapur, manakala anaknya terjun serta menyelamatkan diri ke dalam rumah.

“Mujur bahagian dapur rumah dekat dan pintunya terbuka. Jika tidak, kami mungkin menjadi mangsa. Harimau itu kemudian berlegar-legar berdekatan kawasan dapur.

“Selepas haiwan itu beredar, barulah saya keluar untuk mengambil pasir kira-kira 50 meter dari rumah kerana mahu menyambung semula kerja.

“Namun ketika berada di atas jambatan, tiba-tiba seekor harimau menerkam ke arah saya menyebabkan saya berlari dan terus terjun ke sungai.

“Saya percaya ia adalah harimau yang lain kerana lebih kecil sedikit dan berbulu cerah berbanding harimau pertama,” katanya yang berlindung di bawah jambatan sebelum pulang ke rumah kira-kira 30 minit kemudian.

Sementara itu, Suzana Mustafa, 26, pula mendakwa sedang menunggang motosikal ke tempat kerjanya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Bukit Besi apabila dikejar dan nyaris diterkam harimau yang keluar dari semak kira-kira jam 2 petang.

“Suami, Zulkarnain Ismail, 31, yang menunggang motosikal di belakang menjerit meminta saya memecut motosikal kerana harimau itu semakin hampir.

“Saya memecut sejauh kira-kira 300 meter dan mujur sebuah kereta yang kebetulan berada di belakang membunyikan hon dengan kuat sebelum haiwan itu masuk ke kawasan semak berhampiran.

“Saya sangat takut dan bimbang dengan kandungan saya yang berusia enam bulan. Sepanjang kejadian itu, saya tidak putus-putus berdoa agar tidak menjadi mangsa harimau berkenaan,” katanya.

5774 dibaca
Berita Harian X