Khamis, 18 Julai 2019 | 8:47pm

Penduduk kampung dikejutkan dengan kehadiran harimau

DUNGUN: Penduduk di Kampung Besol, Bukit Besi, di sini, dikejutkan dengan kehadiran seekor harimau dikatakan berkeliaran berdekatan kawasan kediaman mereka, hari ini.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, berkata pihaknya menerima aduan penduduk memaklumkan mereka terserempak haiwan itu di kampung berkenaan, kira-kira jam 10 pagi.

“Harimau itu dikatakan muncul beberapa kali berdekatan kawasan kediaman penduduk. Ini kali pertama haiwan itu muncul berhampiran hutan sebelum menghilangkan diri selepas terserempak dengan penduduk.

“Malah, harimau itu dikatakan muncul berhampiran rumah seorang wanita dan penghuninya menyedari kehadiran haiwan berkenaan selepas mendengar ia mengaum.

“Bagaimanapun, suri rumah berusia 40-an itu segera melarikan diri bagi mendapatkan bantuan jiran kerana bimbang diserang,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ghazali berkata, penduduk juga sempat mengambil gambar dan merakamkan video ketika harimau itu muncul berhampiran sebuah kereta dan jalan raya di kampung berkenaan.

“Harimau itu kelihatan seperti jinak dan tidak lari apabila didekati beberapa penduduk yang mengambil gambarnya.

“Setakat ini, ia tidak menyerang penduduk atau ternakan mereka, namun kita meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu menangkap segera harimau itu,” katanya.

Beliau berkata, ia kali pertama harimau muncul di kampung itu dan pihaknya tidak pasti sama ada haiwan berkenaan sesat dari hutan simpan berdekatan.

“Ada penduduk mendakwa melihat dua harimau tetapi kami tidak dapat memastikan kesahihannya lagi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Terengganu, Dr Abdul Malik Mohd Yusuf, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan pihaknya sedang mengesan haiwan berkenaan.

“Kakitangan PERHILITAN segera dikerah ke lokasi kejadian untuk menangkap haiwan liar itu sebaik sahaja menerima aduan mengenainya.

“Buat masa ini, kita sedang berusaha menangkap harimau itu. Kita juga belum dapat mengenal pasti dari mana harimau itu datang.

“Selain itu, kita tidak dapat mengesahkan sama ada ia jinak atau sebaliknya,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi satu minit 25 saat tular dalam laman sosial menunjukkan seekor harimau sedang merayau-rayau di kawasan berkenaan.

Kehadiran harimau itu sempat dirakam penduduk dan pengguna jalan raya.

2300 dibaca
HARIMAU yang berkeliaran di Kampung Besok, Bukit Besi, Dungun, hari ini. - Foto ihsan pembaca
Berita Harian X