Khamis, 18 Julai 2019 | 6:08pm
CHEAH Tek Kuang hadir pada prosiding perbicaraan kes dana SRC yang membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias

Jho Low tidak boleh dipercayai - Saksi

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, disifatkan seorang yang tidak boleh dipercayai dan tidak menepati waktu.

Bekas Pengarah Urusan Kumpulan Ambank, Cheah Tek Kuang, yang pernah mengendalikan proses pembukaan akaun semasa dan simpanan serta kad kredit Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau tidak pernah mempercayai Jho Low.

Saksi ke-50 pendakwaan itu berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Harvinderjit Singh berhubung dokumen transkrip perbualan melalui telefon Blackberry dengan Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu.

Perkara itu dibangkitkan apabila Harvinderjit mencadangkan yang Jho Low turut berada ketika perbualan berkenaan dilakukan.

Harvinderjit berkata dalam perbualan itu, menunjukkan Jho Low menelefon Tek Kuang, tapi saksi itu menafikan cadangan peguam dan menegaskan yang beliau tidak bercakap dengan Jho Low.

“Saya tidak bercakap dengan Jho Low... Beliau tidak menepati waktu. Saya sangat tidak menyukainya.

“Apa yang Joanna katakan kepada Jho Low, saya tidak tahu kerana saya tidak bercakap dengan dia mengenai hal itu.

“Tetapi saya boleh beritahu anda apa jenis individu ini, dia seorang yang tidak pernah tepati masa. Jika temu janji jam 1 tengah hari, dia akan tiba pada jam 1.30 tengah hari,” katanya.

Ditanya Harvinderjit sama ada Jho Low seorang penipu, saksi itu menjawab, “Dia seorang tidak boleh dipercayai dan tidak patut didekati.”

Harvinderjit: Berhubung komunikasi antara Joanna dan pemegang akaun (Najib), adakah beliau bercakap dengan Najib secara langsung?

Tek Kuang: Saya tidak tahu.

Harvinderjit: Atau dia bercakap terus dengan Jho Low?

Tek Kuang: Saya tidak tahu.

Harvinderjit: Saya cadangkan Joanna beritahu kamu yang dia bercakap dengan Jho Low?

Tek Kuang: Saya andaikan beliau bercakap terus dengan Jho Low.

Sementara itu, Tek Kuang berkata, beliau tidak menerima sebarang surat daripada Najib yang menyatakan bekas perdana menteri itu mahu memulangkan AS$620 juta daripada akaunnya kepada penerima wang terbabit pada 2013.

Menurut Tek Kuang, surat berkenaan tidak pernah dibawa kepada perhatiannya.

Harvinderjit mencadangkan bahawa dana itu akan dipindah keluar daripada akaun Ambank melalui satu transaksi dan ia adalah derma yang tidak digunakan serta akan dipulangkan kepada penderma.

Tek Kuang sekali lagi menyatakan bahawa beliau tidak pernah menerima surat itu.

Bagaimanapun, saksi itu berkata, beliau mengetahui Najib mahu memulangkan derma itu melalui Joanna yang menghubunginya bagi mendapatkan bantuan berhubung kelulusan daripada bank pusat.

Harvinderjit: Saya cadangkan kamu ada membaca surat itu?

Tek Kuang: Saya tidak bersetuju.

Harvinderjit: Pada tahun 2011 dan 2013, ada sejumlah wang yang masuk ke dalam akaun Najib dan Joanna beritahu kamu bahawa wang itu adalah derma dari Arab Saudi?

Tek Kuang. Ya.

Berita Harian X