Khamis, 18 Julai 2019 | 4:05pm
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq

Posting awam kes bicara SRC dikira hina mahkamah - Hakim

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memutuskan sebarang posting awam mengenai perbicaraan kes SRC International membabitkan kes pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dihadapi Datuk Seri Najib Razak, dianggap menghina mahkamah.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat perintah itu sehingga permohonan pihak pendakwaan supaya Najib memohon maaf kepada mahkamah kerana memuat naik posting mengenai kenyataan saksi dalam perbicaraan kes berkenaan, didengar Isnin depan.

Mohd Nazlan kemudian menetapkan Isnin ini untuk mendengar hujahan dan buat sementara waktu, beliau memutuskan sebarang posting yang dikeluarkan sehingga pendengaran itu, dikira menghina mahkamah.

Terdahulu pada prosiding sebelah petang, Muhammad Shafee berkata, tindakan anak guamnya bukan subjudis dan meminta semua pihak kembali pada Isnin depan untuk pihaknya menjawab permohonan pendakwaan.

Beliau berkata, apa yang dinyatakan anak guamnya, tidak bersifat kontroversi.

Katanya, sementara menunggu tempoh itu, beliau akan menasihati anak guam mengenai sama ada tindakannya itu adalah salah atau sebaliknya.

“Jika mahu tunggu dalam dua bulan lagi mengenai penjelasan itu, beliau tidak mungkin boleh bertahan sebagai seorang ahli politik.

“Sebagai peguam hak asasi, kita pernah meminta perintah larangan daripada orang awam dan media membicarakan merit kes itu, tetapi mereka (pendakwaan) tak bagi... Kini mereka minta aku janji supaya anak guam kami tidak keluarkan kenyataan, ini adalah bertentangan.

“Saya boleh beritahu bahawa alasan utama anak guam saya berbuat demikian ialah media tidak melaporkan penuh apa yang berlaku, mereka sekadar memetik apa mereka hendak tulis,” katanya.

Sementara itu, Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, pihaknya tidak mengemukakan prosiding menghina mahkamah terhadap tertuduh, tetapi ia hanya permohonan maaf atas alasan tindakan itu subjudis.

“Kebebasan berucap walau di mana-mana negara seluruh dunia adalah tidak muktamad. Apa yang dilaporkan media mengenai perbicaraan ini adalah versi kami kerana pada peringkat ini ialah kes pendakwaan.

“Apa yang kami mahu ialah sehingga Isnin ini, tertuduh memberikan aku janji untuk tidak mengeluarkan kenyataan membabitkan perbicaraan kes ini,” katanya.

Pada prosiding sebelah pagi, Thomas mengemukakan permohonan menuntut Najib memohon maaf kepada mahkamah kerana menyiarkan posting pada laman Facebook berhubung keterangan saksi membabitkan penggunaan kad kredit miliknya.

Beliau berkata, Najib memuat naik posting menjelaskan penggunaan kad kredit miliknya dengan menyatakan ia bagi membeli hadiah untuk kerabat diraja luar negara.

Katanya, tindakan itu atas kapasiti peribadi tertuduh dan beliau perlu bertanggungjawab terhadapnya.

Pada perbicaraan sebelum ini, Mahkamah Tinggi diberitahu, dua kad kredit Najib dibelanjakan sehingga RM3.3 juta sehari di butik barangan kemas De Grisogono, Itali pada 8 Ogos 2014.

De Grisogono adalah butik barangan kemas mewah Swiss yang diasaskan di Geneva Switzerland pada tahun 1993 oleh pakar berlian hitam Itali berasal dari Lubnan, Fawaz Gruosi,

Keterangan mengenai transaksi kad kredit berkenaan dikemukakan bekas Naib Presiden Kanan Kumpulan Ambank, Yeoh Eng Leong.

1399 dibaca
Berita Harian X