Khamis, 18 Julai 2019 | 1:00pm

Mie Tomoi direman 7 hari

KANGAR: Seorang lelaki yang dikenali Mie Tomoi direman tujuh hari kerana disyaki mencederakan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr Hazman Hassan pada September tahun lalu.

Mie Tomoi sebelum ini direman empat hari hingga hari ini bagi membantu siasatan membakar kereta rasmi Mufti Perlis.

Perintah penahanan reman hari ini dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah.

Suspek yang berusia 48 tahun itu tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Kangar pada jam 9 pagi tadi dengan menaiki van polis bersama pesalah lain.

Dia dilihat memakai topi, berbaju belang biru dan berseluar hitam dengan keadaan tangan kirinya cedera berbalut ke paras siku.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata suspek yang sebelum ini direman di Arau kini disambung reman bagi membantu siasatan kes mencederakan Pengarah JAIPs.

“Polis menahan suspek mengikut Seksyen 326 dan 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan parah terhadap Hazman dengan menggunakan senjata dan melakukan jenayah samun pada tahun lalu.

“Suspek akan direman sehingga Rabu hadapan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan dan sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, BH melaporkan suspek yang membakar kereta rasmi Mohd Asri pada Mac lalu berjaya ditahan selepas bersembunyi hampir empat bulan di sebuah rumah di Kuala Ketil, Kedah.

Dia yang direman atas kesalahan berlaku khianat dengan api turut direman atas kesalahan jenayah samun sebelum membuat pengakuan menetak pipi kiri Hazman dengan menggunakan pedang samurai dalam kejadian di kediaman pengarah itu dekat Kampung Guru pada awal September tahun lalu.

MIE Tomoi (bertopi dan tangan berbalut) diiringi anggota polis ke Kompleks Mahkamah Kangar bagi mendapatkan perintah penahanan reman atas kesalahan mendatangkan kecederaan parah terhadap Pengarah JAIPs, Dr Hazman Hassan dalam satu kejadian pada September tahun lalu. - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Berita Harian X