Khamis, 18 Julai 2019 | 12:55pm
BEKAS Perdana Menteri, hadir pada perbicaraan membabitkan penyelewengan dana SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur . - Foto Zunnur Al Shafiq

Peguam Negara tuntut Najib mohon maaf kepada mahkamah

KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tommy Thomas mengemukakan permohonan bagi menuntut Datuk Seri Najib Razak memohon maaf kepada mahkamah kerana menyiarkan hantaran di laman Facebook berhubung keterangan saksi membabitkan penggunaan kad kredit miliknya.

Thomas membuat permohonan itu pada awal prosiding perbicaraan kes pecah amanah menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd RM42 juta yang dihadapi Najib, hari ini.

Beliau berkata, Najib memuat naik hantaran yang menjelaskan berhubung penggunaan kad kredit miliknya dengan menyatakan bahawa ia digunakan bagi membeli hadiah untuk kerabat diraja luar negara.

“Yang Arif, tindakan tertuduh boleh membawa kepada perlakuan subjudis dan beliau perlu dilayan sama rata dengan kedudukan tertuduh lain berhubung perkara ini.

“Beliau tidak boleh dilayan berbeza hanya kerana kedudukannya sebagai ahli politik dan bekas perdana menteri.


PEGUAM Negara, Tommy Thomas. - Foto Aswadi Alias

“Pendakwaan menuntut permohonan maaf tanpa bersyarat daripada tertuduh di atas tindakannya dan satu aku janji untuk tidak mengulanginya,” katanya.

Thomas berkata, Najib melakukan tindakan itu atas kapasiti peribadi dan perlu bertanggungjawab di atas perbuatannya.

Bagaimanapun peguam Harvinderjit Singh memohon masa untuk pihaknya menjawab permohonan itu bagi berbincang dengan peguam utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan pada petang ini mendengar hujahan balasan peguam bela.

Pada perbicaraan sebelum ini, Mahkamah Tinggi diberitahu, dua kad kredit Najib dibelanjakan sehingga RM3.3 juta dalam masa sehari di butik barangan kemas De Grisogono, Itali pada 8 Ogos 2014.

De Grisogono adalah butik barangan kemas mewah Swiss yang diasaskan di Geneva Switzerland pada tahun 1993 oleh pakar berlian hitam Itali berasal dari Lubnan, Fawaz Gruosi, Keterangan mengenai transaksi kad kredit berkenaan dikemukakan bekas Naib Presiden Kanan Kumpulan Ambank, Yeoh Eng Leong.

1679 dibaca
Berita Harian X