Rabu, 17 Julai 2019 | 10:03pm
PENUNGGANG motorsikal Honda Wave, Razali Ishak dalam perjalanan ke Kampung Berlian maut dilanggar sebuah motosikal dari arah belakang dalam kejadian di Kampung Kok Keli petang tadi. NSTP/Ihsan Pembaca.

Hajat jemput isteri balik kerja tidak kesampaian

TUMPAT: Hasrat seorang lelaki warga emas menjemput isterinya pulang dari bekerja tidak kesampaian selepas maut dirempuh sebuah motosikal di Kampung kok Keli, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Razali Ishak, 64, dalam perjalanan ke Kampung Berlian untuk menjemput isterinya yang bekerja di sebuah tempat memproses serunding di kampung berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud, berkata mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dipercayai sedang membelok untuk memasuki laluan pintas ke Kampung Berlian sebelum dirempuh sebuah motosikal dari arah bertentangan.

“Hasil siasatan mendapati sebuah motosikal dari arah bertentangan itu cuba membrek dan mengelak dari merempuh mangsa, namun gagal disebabkan jarak yang terlalu dekat.

“Impak pelanggaran menyebabkan kedua-dua mangsa, termasuk seorang lelaki berusia 22 tahun tercampak ke atas jalan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Ab Rashid berkata, lelaki warga emas itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala sebelum dihantar ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

“Penunggang sebuah lagi motosikal mengalami patah kaki kiri dan dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

1731 dibaca
Berita Harian X