Rabu, 17 Julai 2019 | 3:44pm
BAS yang dipandu lelaki yang disyaki mabuk berhenti di Jalan Kota Samarahan-Mambong. - Foto Melvin Joni

Pemandu bas mabuk cemaskan anak tentera

KOTA SAMARAHAN: Seramai 33 pelajar yang juga anak anggota tentera melalui detik mencemaskan apabila bas sekolah yang mereka dinaiki dikendalikan oleh pemandu yang disyaki mabuk, pagi tadi.

Berikutan kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, empat pelajar cedera ringan selepas terjun dari bas sekolah yang disewa oleh Angkatan Tentera untuk membawa anak keluarga anggota tentera melihat pemandunya dalam keadaan mencurigakan.

Sumber berkata, 26 daripada pelajar terbabit dari Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Mohd Musa dan tujuh lagi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Samarahan.

Beliau berkata, bas berkenaan disedari dipandu secara merbahaya selepas keluar dari kawasan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kota Samarahan.

“Dia tidak memberhentikan penumpang di sekolah dan memandu secara merbahaya dengan melanggar lampu isyarat, melawan arus dan tidak mahu memberhentikan kenderaan apabila diminta oleh ibu bapa yang mengejar bas itu.

“Usaha menahan bas akhirnya berjaya ketika berada di jalan menghala ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Batu 15,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu, ketika mengesahkan kejadian itu berkata, bas dari arah Kem Muara Tuang yang dipandu lelaki tempatan berusia 58 tahun itu sepatutnya menghantar semua pelajar terbabit ke sekolah.

Bagaimanapun, katanya, apabila sampai di sekolah, pemandu berkenaan tidak perasan yang semua penumpang tidak turun dari bas.

“Dia kemudian terus membawa bas ke Jalan Mambong dan apabila sampai di Bulatan Medan Universiti, empat daripada kanak-kanak terbabit bertindak terjun dari bas untuk menyelamatkan diri kerana curiga dengan keadaan pemandu bas yang dalam keadaan mabuk.

“Mereka mengalami luka di tangan dan kaki,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya lagi, pelajar lain kemudian dihantar ke sekolah masing-masing menggunakan bas TUDM dengan diiringi anggota trafik.

“Pemandu bas terbabit adalah orang awam dan bukannya anggota tentera dan bas yang digunakan juga bukan milik tentera tetapi disewa untuk tujuan menghantar anak-anak tentera ke sekolah setiap hari.

“Lelaki itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan ujian air kencing serta darah turut dijalankan terhadap suspek untuk menentukan kandungan alkohol dan dadah,” katanya.

Berita Harian X