Rabu, 17 Julai 2019 | 12:25pm
PEMILIK dan pekerja kedai dobi memunggah pakaian yang terselamat dalam kebakaran di bandar Matang - Foto Zaid Salim

Pemilik kedai dobi kerugian lebih RM200,000

MARANG: Pemilik sebuah kedai dobi di Bandar Marang, di sini kerugian lebih RM200,000 apabila semua peralatan mencuci pakaian di kedai berkenaan musnah dalam kebakaran di sini, malam tadi.

Dalam kebakaran kira-kira jam 10 malam itu, sebuah premis yang menjalankan perniagaan insurans turut terjejas.

Pengurus kedai dobi, Nur Emielia Alyanie, 29, berkata dia menyedari premis itu terbakar selepas dihubungi pemiliknya, Mohd Azim Hashim, 33, yang ketika itu berada di Kuala Terengganu bersama isteri, Nadia Asma Mohd Nor, 33.

Katanya, dia yang tinggal di Kampung Bukit Kor, di sini, bergegas ke premis berkenaan yang terletak berhadapan Pasar Marang bagi melihat keadaan.

“Sebaik tiba, saya melihat anggota bomba sedang berusaha membuka pintu jeriji bahagian hadapan yang disewa sebuah syarikat insurans sebelum membuka pintu kedai di bahagian belakang.

“Ketika itu, saya tidak nampak api tetapi asap tebal menyelubungi seluruh ruang dalam kedai.

“Saya bersama beberapa pekerja tidak dapat berbuat apa-apa kerana keadaan dalam kedai gelap selain bimbang berlaku kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Nadia Asma berkata, dia dan suami mendapat tahu bangunan kedai yang dibeli kira-kira lima tahun lalu terbakar selepas dihubungi iparnya.

“Kerugian dianggarkan lebih RM200,000 apabila semua mesin mencuci dan mengering pakaian musnah selain pakaian, toto, karpet, selimut, cadar yang dihantar pelanggan.

“Saya tidak pasti punca kebakaran tetapi sebelum menutup perniagaan jam 6 petang, keadaan cuaca di sini hujan dan ribut petir.

“Saya dan suami akan berbincang dengan pelanggan bagi menyelesaikan barangan milik pelanggan yang rosak dan hangus,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Yahya Hanafi berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 10.12 malam dan tiba di lokasi empat minit kemudian.

Katanya, pihaknya terpaksa mengambil sedikit masa untuk membuka jeriji di bahagian pintu hadapan sebelum melakukan pemadaman.

“Sebanyak tiga jentera dari BBP Marang dan Kuala Terengganu membabitkan 20 anggota melakukan kerja pemadaman sebelum api berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira 30 minit kemudian.

“Ketika ini, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Berita Harian X