Rabu, 17 Julai 2019 | 10:26am
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof. - Foto NSTP

Guru KAFA ditipu 'Datuk Azlan'

JERANTUT: Panik dikatakan bapanya disiasat polis kerana terbabit dengan pengubahan wang haram, seorang guru Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA), di sini kerugian RM10,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai Ketua Polis Alor Setar, Kedah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian bermula Isnin lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada seorang suspek memperkenalkan diri sebagai Ahmad Mazlan Ismail dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Alor Setar.

“Suspek mendakwa ayah mangsa mempunyai syarikat bernama Newest Enterpise nombor pendaftaran AS 01109498 didaftarkan pada 13 Mac tahun lalu dan tidak membayar cukai perniagaan sebanyak RM17,600.76.

“Mangsa menafikan perkara itu sebelum panggilan itu disambungkan kepada seorang suspek kononnya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar yang menyatakan sudah merujuk kes berkenaan kepada pihak Bukit Aman.

“Hasil siasatan Bukit Aman mendapati, ayah mangsa turut terbabit dengan kes pengubahan wang haram diketuai oleh Ong Kai Tin,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa menafikan ayahnya terbabit dalam kes berkenaan sebelum suspek meminta mangsa berhubung dengan Ketua Polis Alor Setar.

“Kemudian panggilan itu disambung sekali lagi kepada seorang lagi suspek memperkenalkan diri sebagai Ketua Polis Alor Setar bernama ‘Datuk Azlan’ yang meminta mangsa memberikan maklumat akaun mangsa dan ayahnya kononnya untuk tujuan semakan Bank Negara.

“Mangsa juga diugut akan ditahan jika tidak menyerahkan maklumat itu,” katanya

Beliau berkata, suspek turut memaklumkan kepada mangsa jika menerima sistem pesanan ringkas (SMS) nombor kod pengesahan transaksi (TAC), dia perlu menyerahkan kepada suspek untuk tujuan semakan Bank Negara.

“Mangsa memberikan maklumat itu dan apabila wang miliknya dipindahkan, guru berkenaan memberikan nombor kod TAC perbankan dalam talian kepada ‘pegawai polis’ itu.

“Namun, tidak lama kemudian mangsa baru menyedari dirinya ditipu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut di sini, semalam,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X