Selasa, 16 Julai 2019 | 6:18pm
KEJADIAN lima lelaki memeriksa kereta peronda polis di hadapan pusat mengundi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Chung Hua, Rantau.

5 lelaki periksa kereta polis dituduh Khamis ini

SEREMBAN: Lima lelaki yang memeriksa kereta peronda polis pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, 13 April lalu, akan dituduh di Mahkamah Majistret Seremban, Khamis ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata semua suspek berusia 30 hingga 50 tahun terbabit akan dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Polis baru menerima keputusan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk tuduh lima suspek yang terbabit kes memeriksa kereta peronda polis (MPV) pada PRK DUN Rantau lalu.

“Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Seremban di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini, hari ini.

Dalam kejadian 6 petang pada 13 April lalu, dua anggota MPV mengikuti sebuah kenderaan lain bagi membawa kertas undi ke pusat penjumlahan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Chung Hua, Rantau.

Bagaimanapun, MPV itu tidak memasuki sekolah sebaliknya berhenti di luar pagar bagi mengawal keadaan lalu lintas dan keselamatan.

Lima lelaki berkenaan yang juga penyokong sebuah parti politik, menghampiri anggota lalu memeriksa MPV berkenaan selepas mendakwa polis membawa lebihan kertas undi.

Pada majlis berkenaan, Ketua Polis Daerah Kemaman, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim dilantik Ketua Polis Daerah Seremban yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Mohd Said mengambil alih tugas itu daripada Asisten Komisioner Thiew Hock Poh yang bertukar ke Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

Berita Harian X