Selasa, 16 Julai 2019 | 1:09pm
Mata mangsa bengkak selepas ditumbuk. - Ihsan PDRM

Anak menangis, nenek pula yang ditampar, ditumbuk

JASIN: Berang anaknya menangis, seorang lelaki menampar dan menumbuk muka serta mata nenek kepada isterinya di sebuah rumah, di Kampung Hilir, Batang Melaka, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa berusia 69 tahun cedera di dahi serta kedua-dua matanya mengalami pendarahan dalaman.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu, berkata ketika kejadian cucu warga emas berkenaan dikatakan ke bilik air dan meninggalkan bayi perempuannya berusia lapan bulan kepada mangsa.

Beliau berkata, berang dan tidak tahan mendengar anaknya menangis, suspek berusia 24 tahun memaki mangsa sebelum menampar serta menumbuk muka sehingga warga emas itu rebah.

“Selepas kejadian itu suspek melarikan diri dari rumah mangsa dengan membawa isteri dan anaknya,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, suspek yang tidak bekerja menumpang di rumah mangsa selain warga emas itu juga yang menanggung mereka dengan bekerja sebagai tukang masak di sebuah sekolah agama.

“Mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di Hospital Jasin dan doktor akan merujuknya ke Hospital Melaka untuk berjumpa dengan pakar mata disebabkan matanya tidak boleh dibuka.

“Suspek ditahan jam 11 malam tadi di Bachang,” katanya.

Arshad berkata, ujian saringan air kencing dilakukan mendapati suspek positif dadah dipercayai Methamphetamine.

“Semakan turut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau membabitkan kes dadah.

“Dia kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Berita Harian X