Selasa, 16 Julai 2019 | 12:47pm
Dalam kejadian pada 22 Mac lalu, kereta rasmi jenis Honda Accord kegunaan Mohd Asri dibakar pada bahagian bonet selain cermin turut dipecahkan dipercayai perbuatan khianat.

Mee Tomoi suspek utama tetak Pengarah JAIPs

KANGAR: Polis mengesahkan lelaki yang didakwa membakar kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah individu sama menetak Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JAIPs), Dr Hazman Hassan pada September tahun lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd, berkata suspek yang dikenali sebagai Mee Tomoi membuat pengakuan itu dengan Hazman turut dipanggil membuat pengecaman suara.

“Setakat ini Mee Tomoi mengaku dia menerima upah daripada pihak tertentu untuk melakukan jenayah terbabit (menetak Hazman).

“Suspek masih dalam tahanan reman polis bagi kes samun sehingga esok, kemudian kita akan dapatkan perintah tahanan reman bagi siasatan terhadap kes mencederakan Pengarah JAIPs mengikut Seksyen 326 dan 394 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini.

Pada 2 September lalu, Hazman berdepan detik cemas apabila dilibas pedang samurai di pipi kiri selepas rumahnya di Kampung Guru, Kangar, dipecah masuk.

Pada kejadian 11 malam itu, mangsa baharu sahaja pulang selepas menghadiri ceramah dan tidak menyedari kediamannya dipecah masuk sebelum dia dikatakan bertengkar dan diserang oleh individu terbabit.

Mengulas kejadian bakar kereta rasmi Mohd Asri, Noor Mushar mengesahkan Mee Tomoi diarahkan oleh pihak tertentu untuk mengancam keselamatan Mufti Perlis itu.

“Bagaimanapun suspek mengaku tidak sampai hati (mengancam keselamatan Mohd Asri) disamping pihak berkenaan tidak menepati janji dalam soal pembayaran upah kepadanya.

“Jadi saya rasa untuk mendedahkan maklumat yang lebih lanjut adalah tidak sesuai dan kita tunggu sehingga proses siasatan selesai,” katanya.

Sebelum ini, Mee Tomoi ditahan ketika bersembunyi di sebuah rumah di Merbau Pulas, Kuala Ketil, Kedah, pada jam 4 pagi 6 Julai lalu, dan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan api.

Berita Harian X