Isnin, 15 Julai 2019 | 11:29am

Remaja lemas di Bukit Katak

TASEK GELUGOR: Kegembiraan sekumpulan remaja menghabiskan cuti hujung minggu berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas ketika mandi di kolam tapak bekas kuari di Bukit Katak, di sini, semalam.

Mangsa, Mohamad Danial Hakim Yusof, 16, tahun yang menetap di Taman Guar Perahu, di sini, pergi ke kawasan terbabit dan mandi di kolam dengan kedalaman lebih enam meter bersama rakannya, kira-kira jam 3.30 petang.

Bagaimanapun, rakannya memaklumkan kepada penduduk tempatan selepas gagal menemui mangsa, sebelum kejadian itu dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Jurucakap JBPM negeri, berkata tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor dan Kepala Batas serta Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Bandar Perda kemudian bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan, jam 8 malam tadi.

“Operasi SAR mangsa kemudian dilakukan dengan mayat mangsa ditemui tidak jauh dari kawasan dia dilaporkan lemas, kira-kira jam 10.12 malam tadi.

“Mayat mangsa di bawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berita Harian X