Ahad, 14 Julai 2019 | 11:02am
PEMANDU treler dan seorang penumpang bas ekspres cedera selepas treler tanpa muatan merempuh belakang bas ekspres yang sedang berhenti di laluan kecemasan kerana rosak di KM433.3 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan. NSTP/Ihsan Polis

2 cedera treler rempuh bas ekspres

KUALA LUMPUR: Dua individu cedera apabila sebuah treler merempuh belakang bas ekspres sedang berhenti di laluan kecemasan kerana mengalami kerosakan di Kilometer 433.3 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di Hulu Selangor, awal pagi tadi.

Kemalangan kira-kira jam 3.40 pagi itu menyebabkan pemandu treler berusia 27 tahun tersepit di tempat duduk pemandu, manakala seorang penumpang bas ekspres berkenaan terkena serpihan kenderaan.

Nahas berlaku apabila treler tanpa muatan dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Shah Alam itu dipercayai hilang kawalan dan gagal mengelak bas terbabit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Azman Ab Rahman, berkata semua 28 penumpang dan pemandu bas ekspres yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Johor itu dilaporkan terselamat.

“Namun, salah seorang penumpang lelaki cedera ringan terkena serpihan kenderaan, manakala pemandu treler cedera ringan di dahi dan tangan serta kaki kanan.

“Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

“Penumpang bas ekspres yang selebihnya dipindahkan ke dua bas lain untuk meneruskan perjalanan ke Johor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan diteruskan untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan kes diklasifikasikan mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959.

290 dibaca
Berita Harian X