Sabtu, 13 Julai 2019 | 12:33pm
KEJADIAN ragut membabitkan seorang pejalan kaki yang berlaku di hadapan kompleks membeli-belah Sogo, Khamis minggu lalu.

Polis buru peragut, mangsa diminta buat laporan

KUALA LUMPUR: Polis memburu seorang lelaki yang dikaitkan dengan satu kejadian ragut membabitkan seorang pejalan kaki yang berlaku di hadapan kompleks membeli-belah Sogo, di sini, Khamis minggu lalu.

Kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu berjaya dirakam seorang awam sedang membuat rakaman video-log (Vlog) berhampiran lokasi kejadian yang kemudian membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah, berkata dalam kejadian itu, suspek yang menunggang motosikal meragut rantai leher dipakai mangsa yang ketika itu sedang melintas di laluan melintas jalan di hadapan Sogo ke arah Kompleks Pertama.

“Kita terima satu laporan daripada individu yang berjaya merakam kejadian itu namun sehingga ini mangsa terbabit belum tampil membuat aduan.

“Bagaimanapun pihak polis tetap memulakan siasatan dan usaha mengesan suspek sedang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Fahmi Visuvanathan berkata, beliau berharap mangsa ragut terbabit untuk tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

“Semakan mendapati nombor pendaftaran motosikal suspek yang berjaya dirakam dalam video terbabit adalah nombor pendaftaran palsu.

“Kita minta orang ramai agar sentiasa berhati-hati untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa ragut,” katanya.

Semalam, rakaman video menunjukkan kejadian ragut berkenaan mula tular di laman media sosial seterusnya mendapat perhatian netizen yang rata-rata mengutuk kejadian itu dan mahu penjenayah terbabit ditangkap.

Menerusi rakaman berdurasi 53 saat itu kelihatan suspek yang menunggang motosikal Yamaha LC berwarna biru, datang dari arah belakang mangsa yang sedang melintas jalan sebelum memintas dari sebelah kanan ke hadapan wanita itu dan meragut rantai lehernya.

Wanita terbabit yang sedang menggalas sebuah beg plastik berwarna biru tidak sempat berbuat apa-apa dan hanya mampu menjerit sebelum suspek memecut motosikalnya ke arah Jalan Dang Wangi.

Berita Harian X