Sabtu, 13 Julai 2019 | 12:05am
Dua anggota Polis cedera selepas kereta peronda yang dipandu dirempuh sebuah lori dari belakang di persimpangan Jalan Kuala Kangsar/Jalan Perindustrian Kanthan 1, Ipoh. - Foto ihsan Pembaca

Anggota polis cedera, MPV polis dirempuh lori

IPOH: Dua anggota polis cedera selepas kereta peronda mereka naiki dirempuh sebuah lori ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuala Kangsar/Jalan Perindustrian Kanthan 1 di sini, petang tadi.

Kemalangan kira-kira jam 6.25 petang itu turut membabitkan dua lagi kenderaan lain namun tiada kecederaan serius dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata kemalangan itu membabitkan empat kenderaan iaitu lori jenis Hino, kereta peronda polis jenis PROTON Inspira, PROTON Waja dan Perodua Axia.

Katanya, anggota polis yang cedera adalah pemandu kereta peronda berpangkat Lans Koperal berusia 33 tahun dan penumpang hadapan berpangkat Sarjan berusia 53 tahun.

“Siasatan awal mendapati lori berkenaan dari arah Chemor menghala ke Sungai Siput dan apabila sampai di tempat kejadian dipercayai melanggar pada bahagian belakang kereta peronda polis yang sedang berhenti di lampu isyarat.

“Pelanggaran dari belakang itu menyebabkan kenderaan polis terseret hingga melanggar lampu isyarat kemudian melambung ke atas PROTON Waja yang juga sedang berhenti di lampu isyarat.

“Tiang lampu isyarat yang dilanggar patah dan jatuh terkena pada bahagian hadapan kereta Perodua Axia,” katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Beliau berkata, punca kemalangan dipercayai disebabkan lori dipandu lelaki berusia 45 tahun hilang kawalan dan merempuh kenderaan yang berhenti di lampu isyarat.

“Pemandu lori tidak cedera, begitu juga pemandu PROTON Waja lelaki berusia 27 tahun dan pemandu Perodua Axia iaitu wanita berusia 54 tahun.

“Pemandu lori kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk diambil sampel darah dan air kencing,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X