Jumaat, 12 Julai 2019 | 3:01pm
PIL khayal jenis ecstasy yang dirampas dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Kuching, malam tadi. - Foto ihsan PDRM

7 lelaki ditahan miliki pil ecstasy

KUCHING: Tujuh lelaki ditahan selepas disyaki memiliki pil khayal jenis ecstasy dalam serbuan di sebuah pusat hiburan, di sini malam tadi.

Kesemua suspek berusia 26 hingga 35 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 12.45 tengah malam oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif, berkata serbuan itu susulan maklumat risikan berhubung kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di premis hiburan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut kemudian membawa kepada penemuan satu bekas semburan pewangi mencurigakan disembunyikan dalam laci kabinet di kaunter.

“Di dalam bekas semburan itu, kita menemui satu paket plastik warna merah berisi campuran jus buah-buahan dan serbuk ecstasy serta satu paket plastik lutsinar berisi 17 pil khayal itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sahar berkata, serbuk dirampas itu seberat 50.75 gram dan pil ecstasy 5.70 gram, dengan anggaran nilai keseluruhan RM1,520.

“Kesemua mereka sudah dibawa ke Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil ujianm saringan air kencing turut mendapati tiga suspek positif dadah jenis benzo dan ketamin. Selain itu, pengurus pusat hiburan itu turut ditahan kerana beroperasi tanpa lesen,” katanya.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Berita Harian X