Jumaat, 12 Julai 2019 | 1:07pm
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kampung Bukit Kenak, Besut, Jertuh. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

1 maut, tujuh parah dua kereta bertembung

JERTIH: Seorang buruh maut, manakala tujuh lagi parah apabila dua kereta dinaiki mereka bertembung di Kampung Bukit Kenak, Besut, di sini, semalam.

Dalam kemalangan jam 3.25 petang, pemandu kereta Proton Wira, Rosli Abdul Haq, 32, beralamat di Kampung Balok, Kuantan, Pahang, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata nahas berlaku apabila mangsa memandu dari arah Jertih ke Kuala Terengganu dipercayai cuba memotong kenderaan lain di hadapannya sebelum bertembung dengan sebuah Proton Saga FLX dari arah bertentangan.

“Mangsa maut di tempat kejadian akibat parah di kepala, manakala seorang warga Thailand di kerusi penumpang hadapan Proton Wira yang dikenali sebagai Miss Rohaya, 31, patah tulang pinggul.

“Seorang penumpang belakang Proton Wira yang juga warga Thailand dikenali sebagai Muhammad Zulkipli, 30, patah kaki. Seorang lagi penumpang, iaitu anak si mati berusia dua tahun, pula cedera di mulut,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Akibat rempuhan itu, beliau berkata, pemandu Proton Saga FLX, Muhammad Faris Alimi Amran, 25, yang beralamat di Ketereh, Kelantan, patah peha, dan penumpang hadapan kereta berkenaan, Nuramalina Mohamed Zainuddin, 24, cedera di kaki.

“Penumpang belakang kereta itu, Wan Mohamad Hakim Fikri W Hussin, 24, cedera parah di perut, sementara seorang lagi penumpang belakang, Muhammad Shazrul Hafiz Mohd Saidi, 24, patah kaki.

“Mayat dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat, manakala kesemua mangsa yang parah dibawa ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Mohd Zamri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Besut, Ridzuan Mamat, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.28 petang lalu bergegas ke lokasi dengan kekuatan lapan anggota.

“Ketika sampai di lokasi, anggota mendapati kesemua mangsa sudah dikeluarkan orang awam dan tiada yang tersepit di dalam kenderaan,” katanya.

Seorang saksi enggan dikenali pula berkata, beliau mendengar dentuman kuat ketika berada di kedainya berhampiran lokasi sebelum segera ke tempat kejadian untuk membantu mangsa.

Berita Harian X