Jumaat, 12 Julai 2019 | 7:36am

Sorok dadah dalam tapak kasut, mahu seludup ke Korea Selatan

KUALA LUMPUR: Pelbagai helah digunakan sindiket penyeludupan dadah untuk menyeludup bahan terlarang itu, termasuk menyembunyikannya dalam tapak kasut.

Taktik itu terbongkar susulan penahanan dua lelaki, masing-masing berusia 27 dan 38 tahun tahun di Balai Pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah, berkata anggota polis bertugas terserempak dengan kedua-dua suspek dalam keadaan mencurigakan di kawasan mesin pengimbas kastam sebelum mengarahkan mereka menjalani pemeriksaan lanjut.

“Ia membawa kepada penemuan 1.05 kilogram dadah disyaki syabu yang disorokkan dalam tapak kasut salah seorang suspek.

“Ketika ditahan, kedua-dua suspek sedang dalam perjalanan ke Busan, Korea Selatan,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Katanya, kedua-dua suspek warga tempatan itu direman sehingga hari ini untuk membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Berita Harian X