Khamis, 11 Julai 2019 | 4:00pm
BEKAS Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hadir di Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

Pemilik Aset Kayamas arah bayar RM2 juta - Saksi

KUALA LUMPUR: Pemilik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd (Aset Kayamas) mengarahkan RM2 juta dibayar kepada Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB), syarikat yang mana bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, mempunyai kepentingan.

Pengurus kewangan, Lai Vui Kiong, 59, yang menjadi saksi ke-16 pihak pendakwaan pada perbicaraan kes rasuah RM2 juta membabitkan Tengku Adnan, memberitahu demikian kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Katanya, beliau menerima arahan daripada Tan Sri Chai Kin Kong supaya membuat bayaran berkenaan tanpa merujuk sebarang dokumen sokongan yang lain.

Vui Kiong yang mengenali Kin Kong sejak 1997 dan bekerja sebagai pengurus kewangan di Sinerjuta Juta Sdn Bhd (Sinerjuta) dari 2013 hingga 2016, berkata selain Aset Kayamas dan Sinerjuta, Kin Kong juga memiliki syarikat lain, iaitu Faber Vista Sdn Bhd dan Era Ecoland.

Saksi berkenaan berkata, beliau tidak tahu tujuan bayaran kepada THSB dibuat dan sama ada syarikat itu mempunyai sebarang urusan perniagaan dengan Aset Kayamas.

“Selepas menerima arahan daripada Kin Kong, saya kemudian menyemak akaun bank Aset Kayamas dan mendapati baki wang dalam akaun syarikat itu, cukup untuk membuat bayaran berkenaan.

“Selepas menyemak baucar bayaran bertarikh 14 Jun 2016 dan berpuas hati, saya serahkan kepada Kin Kong untuk diluluskan,” katanya.

Saksi itu turut mengesahkan bahawa tandatangan pada bahagian ‘disahkan oleh’ adalah tandatangan ringkas miliknya dan kemudian diluluskan Kin Kong.

Beliau juga mengesahkan pernah melihat cek Hong Leong Islamic Bank milik Aset Kayamas atas nama THSB berjumlah RM2 juta ketika membuat semakan baucar bayaran.

Kepada soal balas peguam, Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan, saksi itu berkata beliau tidak tahu tujuan bayaran kerana kerana tiada sebarang butiran bayaran tertera pada baucar bayaran.

Katanya, sudah menjadi kebiasaan, setiap kali pembayaran dibuat akan terdapat butiran atau tujuan bayaran pada baucar bayaran.

Hock Chuan: Adakah baucar bayaran itu antara proses normal?

Vui Kiong: Betul.

Hock Chuan: Saya cadangkan bahawa tiada sebarang butiran dan tujuan bayaran ditulis dalam baucar bayaran untuk THSB kerana syarikat itu tidak mempunyai hubungan perniagaan dengan Aset Kayamas?

Vui Kiong: Setuju.

Hock Chuan: Biasanya kalau untuk tujuan perniagaan, butiran akan ditulis dalam baucar bayaran?

Vui Kiong: Ya.

Hock Chuan: Adakah kamu tanya Kin Kong tujuan bayaran ketika membuat pengesahan?

Vui Kiong: Tidak tanya.

Hock Chuan: Jadi pengesahan yang kamu buat untuk apa?

Vui Kiong: Saya hanya mengesahkan jumlah bayaran dan tarikh.

Hock Chuan: Kamu setuju bahawa pengesahan pada baucar bayaran termasuk mengesahkan butiran dan tujuan bayaran?

Vui Kiong: Sepatutnya.

Beliau juga ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Firdaous Mohamed Idris mengenai baki akaun bank milik Aset Kayamas yang tidak mencukupi untuk membayar RM2 juta seperti tertera dalam penyata bank.

“Sekiranya syarikat menggunakan akaun di mana baki tidak mencukupi, syarikat perlu membuat pemindahan wang dari akaun lain untuk menampung baki yang tidak mencukupi,” kata Vui Keong.

Soalan itu susulan pertanyaan Hock Chuan mengenai kenyataan Vui Kiong yang menjelaskan, baki akaun Aset Kayamas mencukupi, tetapi dalam penyata bank yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan ia tidak mencecah RM2 juta.

Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam, didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik Aset Kayamas.

Wang berkenaan didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik THSB di mana bekas menteri itu mempunyai kepentingan dan yang diketahui bahawa Aset Kayamas ada hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016 dan dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Selasa depan.

1225 dibaca
Berita Harian X