Khamis, 11 Julai 2019 | 2:36pm

Choo Kiong tetap jalankan tugas EXCO seperti biasa - peguam

IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong, boleh terus menjalankan tugasnya seperti biasa.

Peguamnya, Leong Cheok Keng, berkata tugas sebagai EXCO Kerajaan Negeri tidak terganggu meskipun ketika ini beliau dikaitkan dengan dakwaan merogol pembantu rumahnya dan didesak meletakkan jawatan oleh banyak pihak.

Beliau berkata, undang-undang menetapkan seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, maka dalam erti kata itu Choo Kiong masih belum didapati bersalah.

“Ketika ini, beliau (Choo Kiong) masih menjalankan tugasnya seperti biasa sebagai seorang EXCO Kerajaan Negeri.

“Dalam hal ini (dakwaan merogol), saya pasti beliau tidak bersalah dan tiada alasan untuk beliau meletak jawatannya sebagai EXCO,” katanya kepada pemberita selepas menemani Setiausaha Sulit Choo Kiong, Teoh Hui Yng, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh hari ini.

Laporan polis itu dibuat susulan dakwaan Hui Yng menerima gangguan melalui panggilan telefon yang dibuat seorang ahli politik tempatan berhubung isu mengaitkan Choo Kiong.

Ditanya mengapa DAP tidak mendesak Choo Kiong letak jawatan atau berehat hingga kes membabitkannya selesai, sebagaimana lazimnya dilakukan DAP ketika menjadi pembangkang, Cheok Keng berkata perkara sama juga berlaku ketika zaman Barisan Nasional (BN) memerintah.

Katanya, ketika BN memerintah terdapat ramai pemimpin BN dihadapkan ke mahkamah dan dituduh atas pelbagai kesalahan tetapi tidak pula meletakkan jawatan sebelum kes dibuktikan.

“Saya tidak mahu bandingkan dengan BN tetapi apa yang saya ingin katakan khususnya dalam hal ini, (dakwaan terhadap Choo Kiong) adalah tidak berasas.

“Dalam kes rogol, mudah membuat tuduhan tetapi untuk membuktikannya adalah sukar, dan dalam kes ini kami ada alibi serta saksi masa kejadian, sukar untuk membuktikan kejadian itu berlaku,” katanya.

Sementara itu, Hui Yng berkata laporan polis berhubung gangguan panggilan telefon itu dibuat bagi meminta polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Saya terima panggilan kira-kira jam 1 tengah hari semalam ketika berada di pejabat Choo Kiong di Bangunan Perak Darul Ridzuan daripada seorang ahli politik MCA.

“Dia bertanya jika saya ada mengalami gangguan seksual dari ‘dia’ tanpa menamakan sesiapa dan individu itu berkata: “Jika ada, jangan berdiam diri dan pergi buat laporan polis, kita semua tahu ‘dia’ ada kecenderungan ini”.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dan menegaskan bahawa saya tidak pernah mengalami apa-apa gangguan seksual dan saya juga mengatakan jangan buat tuduhan ke atas dia (Choo Kiong),” katanya.

LEONG Cheok Keng (kiri) menemani Setiausaha Sulit Choo Kiong, Teoh Hui Yng (tengah) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, hari ini. - Foto Abdullah Yusof
Berita Harian X