Rabu, 10 Julai 2019 | 8:18pm
Mohd Rasyidi Shahid (belakang) dan ibunya sedang mencari barangan selepas rumah terbakar dalam kejadian di Taman Keladi. - NSTP/Nor Farhani Che Ad

Kejutan anak selamatkan keluarga dari korban kebakaran

SUNGAI PETANI: Tindakan kanak-kanak berusia tiga tahun mengejutkan ayahnya dari tidur menyelamatkan mereka dari kebakaran yang berlaku di Taman Keladi, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, Mohd Rasyidi Shahid, 32, sedang tidur bersama anak perempuannya, Nur Asma Husna Arasy Aishah di ruang tamu rumah ibunya.

“Anak tiba-tiba kejutkan saya, katanya ada asap dalam rumah, bila saya periksa saya dapati asap datang dari bilik tengah.

“Saya terus ke bilik berkenaan dan mendapati api sedang marak di bahagian bumbung bilik serta beberapa barangan di dalam bilik seperti baju dan tilam sudah terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Rasyidi berkata, dia bertindak membawa keluar anaknya itu dari rumah berkenaan sebelum meminta pertolongan jiran.

Katanya, ketika dia berpatah balik ke rumah itu, dia mendapati ruang di dalam rumah sudah mula terbakar dan dia tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah berkenaan.

“Kejadian berlaku terlalu pantas, namun saya bersyukur kerana saya dan anak sempat keluar dari rumah itu dan kami berdua tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pada 4.15 petang sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.

Katanya, kebakaran menyebabkan rumah berkenaan terbakar 80 peratus serta turut mengakibatkan kerosakan di bahagian bumbung rumah bersebelahan.

“Api berjaya dikawal dalam masa lima minit dan operasi tamat pada 5.32 petang. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

405 dibaca
Berita Harian X