Rabu, 10 Julai 2019 | 6:47pm
SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun​​​​​​ lemas selepas terjatuh ke dalam longkang berhampiran Apartment Dahlia, Taman Bunga Raya, Rawang, hari ini. - Foto ihsan bomba

Budak lemas jatuh longkang

RAWANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun​​​​​​ lemas selepas terjatuh ke dalam longkang berhampiran Apartment Dahlia, Taman Bunga Raya, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Muhammad Amin Shah Safaruddin, yang bermain bersama rakannya di kawasan longkang terbabit dikatakan terjatuh ketika cuba mengambil kasutnya yang hanyut.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata mayat mangsa ditemui oleh anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pada jam 3.45 petang.

“Mayat kanak-kanak itu ditemui kira-kira satu meter dari lokasi mangsa dikatakan terjatuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hafisham berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

Katanya, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 2.20 petang.

Berita Harian X