Rabu, 10 Julai 2019 | 5:51pm
Tengku Adnan hadir di Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Tengku Adnan terbabit sejak awal dalam penjualan dua lot tanah - Saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, dimaklumkan bahawa bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, terbabit sejak awal dalam penjualan dua lot tanah di Bandar Tun Razak kepada Aset Kayamas Sdn Bhd.

Bekas Pengarah Penilaian di Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kamariah Ibrahim, dalam keterangannya berkata pada peringkat awal, ada surat daripada pihak pemaju, Aset Kayamas yang dihantar ke JPPH.

Saksi ke-14 pendakwaan itu berkata, ada catatan oleh Tengku Adnan yang menyatakan ‘sila setuju’ dan ‘sila uruskan’ pada surat berkenaan.

“Pada peringkat akhir, Menteri akan memberi kata putus bersetuju untuk penjualan tanah berkenaan kerana ia mematuhi syarat perundangan dengan niat bagi memperbanyakkan pembangunan rumah mampu milik,” katanya.

Kamariah, 62, berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Haderiah Siri, pada sesi pemeriksaan utama berhubung pembabitan Tengku Adnan dalam penjualan tanah terbabit.

Terdahulu, Kamariah berkata, pada 3 April 2015, bekas Datuk Bandar DBKL, Tan Sri Ahmad Phesal Talib pernah menolak permohonan pembelian tanah daripada Aset Kayamas atas alasan DBKL ada perancangan untuk membangunkan sendiri tapak berkenaan.

Beliau berkata, ia kerana DBKL membeli tanah itu pada harga tinggi daripada syarikat pemaju dan pada asalnya, dua lot tanah terbabit bertujuan dibangunkan asrama Institut Latihan DBKL.

Haderiah: Apakah pertimbangan DBKL untuk tidak menjual dua lot tanah itu walaupun menerima catatan Menteri (Tengku Adnan) untuk jual?

Kamariah: Selepas dapat surat dari pejabat Menteri, saya ada bawa surat itu kepada Datuk Bandar (Ahmad Phesal). Dalam perbincangan itu, saya syorkan untuk tidak menjual tanah terbabit kerana DBKL beli untuk membina asrama.

Haderiah: Bagaimana selepas itu penjualan diteruskan?

Kamariah: Kemungkinan ada perbincangan antara Datuk Bandar dan Menteri. Kemungkinan pemaju ada cadangan lain sehingga mengubah tolak permohonan kepada tiada halangan.

Kamariah berkata, pada 14 Mei 2015, Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) yang dipengerusikan Tengku Adnan memutuskan untuk meluluskan permohonan Aset Kayamas dengan bersyarat.

“Syaratnya ialah harga jualan terdiri daripada nilai pasaran semasa tanah yang ditentukan JPPH ditambah 20 peratus daripada nilai pasaran.

“Syarat lain, syarikat diminta membayar wang kesungguhan (setuju) berjumlah RM200,000 dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat tawaran.

“Akhir sekali, syarikat diminta menjelaskan baki pendahuluan 10 peratus daripada harga jualan selepas menolak RM200,000. Penjelasan adalah dalam tempoh 14 hari dari tarikh makluman harga,” katanya.

Menurut saksi itu, Tengku Adnan kemudian menandatangani perakuan yang dikeluarkan DBKL bagi meluluskan penjualan dua lot tanah terbabit.

Berikutan persetujuan itu, Kamariah berkata, beliau meminta pegawainya, Razailia Khalid, mengeluarkan surat tawaran kepada syarikat pemaju berkenaan.

Kamariah juga mengesahkan permohonan penjualan tanah milik DBKL adalah atas arahan Tengku Adnan seperti catatan bekas menteri itu dalam beberapa surat berkaitan urusan penjualan tanah.

Katanya, pentadbiran DBKL tiada halangan untuk menjual lot terbabit dengan syarat, antaranya syarikat pemaju membina satu blok asrama bersebelahan Institut Latihan DBKL di atas tanah berkeluasan 0.5 ekar (0.2023428 hektar).

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam, iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa sudah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding Sdn Bhd yang dia mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan diwakili peguam bela, Datuk Tan Hock Chuan.

335 dibaca
Berita Harian X