Rabu, 10 Julai 2019 | 5:41pm
Najib meminta supaya pinjaman RM3.95b yang dipohon SRC International Sdn Bhd daripada KWAP yang pada asalnya hanya diluluskan RM1b, dinaikkan kepada RM2b. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Wang lulus RM1 bilion, Najib beritahu RM2 bilion memadai - Saksi

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta supaya pinjaman RM3.95 bilion yang dipohon SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) yang pada asalnya hanya diluluskan RM1 bilion, dinaikkan kepada RM2 bilion.

Najib mengemukakan permintaan itu kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, 67, dalam satu pertemuan di antara mereka berdua di Pejabat Perdana Menteri.

Wan Abdul Aziz yang memberikan keterangan selaku saksi ke-45 pendakwaan, berkata pada pertemuan itu, Najib memintanya mempercepatkan proses kelulusan permohonan pinjaman berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak mengingati tarikh sebenar pertemuan itu dan tidak membuat sebarang catatan berhubung arahan berkenaan.

“Beliau juga memberitahu bahawa pinjaman kepada SRC pada jumlah RM2 bilion adalah memadai dan bukan pada jumlah RM1 bilion.

“Selepas perjumpaan itu, saya memaklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Azian Mohd Noh mengenai arahan yang diterima daripada Najib bagi KWAP mempercepatkan proses kelulusan permohonan pinjaman dengan jumlah RM2 bilion.

“Saya juga ingin menyatakan di sini bahawa jika tiada komunikasi dengan Najib berkenaan hal pinjaman SRC dengan KWAP, Panel Pelaburan akan kekal untuk meluluskan pinjaman sebanyak RM1 bilion sahaja seperti dipertimbangkan dan diluluskan Panel Pelaburan,” katanya.

Wan Abdul Aziz berkata perkara berhubung pertemuan itu turut dimaklumkan kepada Panel Pelaburan dan dicatat dalam Minit Mesyuarat Khas Panel Pelaburan.

Katanya, mesyuarat dimaklumkan oleh Azian bahawa beliau ada berkomunikasi dengan Najib berkenaan permohonan SRC dan beliau diarahkan supaya KWAP mempercepatkan proses kelulusan permohonan pinjaman RM2 bilion berbanding jumlah cadangan asal RM1 bilion.

Terdahulu, Wan Abdul Aziz yang membacakan pernyataan saksi, berkata SRC menerusi surat bertarikh 3 Jun 2011 yang dialamatkan kepada Najib, memohon kelulusan pinjaman RM3.95 bilion daripada KWAP.

Katanya, surat itu ditandatangani Nik Faisal Ariff Kamil selaku Pengarah SRC yang ketika itu adalah syarikat milik penuh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang juga anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

“Selepas penilaian dibuat oleh Jabatan Pendapatan Tetap, KWAP hanya bersetuju menyediakan pinjaman berjumlah RM1 bilion.

“Jumlah itu selepas mengambil kira risiko konsentrasi kerana jumlah pinjaman RM3.95 bilion adalah amat besar dan ditumpukan kepada satu industri dan syarikat saja,” katanya.

Wan Abdul Aziz yang menjelaskan lanjut, berkata mesyuarat panel pelaburan membuat keputusan untuk menangguhkan kelulusan kertas pelaburan itu sehingga mendapat maklumat lanjut daripada pihak SRC.

Bagaimanapun, katanya, keputusan Panel Pelaburan itu ditangguhkan untuk mendapat maklumat lanjut daripada pihak SRC.

“Dalam mesyuarat itu, seorang ahli pelaburan memberi pendapat supaya Najib dimaklumkan yang KWAP mencadangkan pinjaman pembiayaan berjumlah RM1 bilion saja kepada SRC.

“Saya memaklumkan perkara itu kepada Azian dan mencadangkan beliau untuk mengikut saya berjumpa Najib,” katanya.

Wan Abdul Aziz, berkata beliau kemudian berjumpa Najib di Pejabat Perdana Menteri dan memaklumkan mengenai keputusan Panel Pelaburan KWAP yang hanya meluluskan RM1 bilion.

Katanya, selepas itu beliau berjumpa sekali lagi dengan Najib berkenaan tugas rasmi urusan Kementerian Kewangan.

Berita Harian X