Rabu, 10 Julai 2019 | 2:22pm
PENGERUSI Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong. - Foto Razif Rosli

'Saya percaya kebenaran akan mengatasi kebatilan'

IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong mendakwa tuduhan merogol pembantu rumahnya sebagai palsu dan tidak berasas.

Choo Kiong, 49, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh mewakili DAP berkata, beliau amat terkejut dan keliru dengan tuduhan itu.

“Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya atas tuduhan yang tidak berasas itu.

“Saya ingin menekankan bahawa saya langsung tidak pernah merogolnya, mencabul kehormatannya atau melakukan apa-apa gangguan terhadap dia (pembantu rumah berkenaan),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui aplikasi WhatsApp kepada media Perak di sini, hari ini.

Choo Kiong berkata, bagi membersihkan dirinya daripada pertuduhan bersifat fitnah berkenaan, beliau sudah pun memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis.

Beliau juga membawa saksi untuk membantu siasatan bagi menunjukkan bahawa pertuduhan itu adalah fitnah semata-mata.

Katanya, pada masa sama, beliau menghormati proses undang-undang yang sewajarnya dan mempercayai polis akan menjalankan siasatan secara profesional dan telus.

“Saya percaya bahawa kebenaran akan mengatasi kebatilan,” katanya.

Berita Harian X