Rabu, 10 Julai 2019 | 1:23pm
Najib hadir ke mahkamah bagi perbicaraan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Pendakwaan SRC fail notis usul tangguh kes 1MDB

KUALA LUMPUR: Pendakwaan kes SRC International Sdn Bhd (SRC) yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak, memfailkan notis usul bagi menunda perbicaraan kes membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Pendakwa Raya selaku pemohon, memfailkan notis usul itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, hari ini dengan menamakan Najib selaku responden.

Dalam permohonannya, pihak pendakwaan memohon perintah untuk perbicaraan kes 1MDB ditunda sementara bagi menunggu penyelesaian perbicaraan kes SRC diselesaikan di Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan afidavit sokongan yang diikrarkan bersama notis usul itu, Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed, berkata perbicaraan kes SRC bermula pada 3 April dan dijadualkan berterusan sehingga 15 Ogos ini.

Menurut Budiman, sehingga kini pihaknya sudah memanggil 45 saksi dan bercadang untuk memanggil 20 saksi lagi bagi memberi keterangan, namun ia tertakluk kepada keadaan yang berubah dan dinamik.

“Bagi tujuan perancangan adalah mustahil untuk perbicaraan kes SRC dapat ditamatkan pada 15 Ogos ini. Sehubungan itu, adalah wajar permohonan (penangguhan) ini,” katanya.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah, menetapkan perbicaraan kes 1MDB bermula pada 19 Ogos ini hingga 22 Ogos dan bersambung pada 26 Ogos hingga 29 Ogos.

Tarikh lain yang ditetapkan ialah sepanjang September, Oktober dan dua minggu pertama November.

Budiman berkata, dalam prosiding perbicaraan kes SRC pada 3 Julai lalu, pihak pendakwaan memohon penundaan kes 1MDB dan perkara itu tidak dibantah pihak pembelaan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, turut memaklumkan beliau tiada bantahan untuk meneruskan prosiding kes SRC pada tarikh dijadualkan untuk perbicaraan kes 1MDB, dengan syarat Hakim Collin menunda permulaan kes berkenaan,” katanya dalam afidavit itu.

Budiman berkata, demi kepentingan semua pihak kes itu perlu diteruskan tanpa sebarang penangguhan sehingga selesai untuk tidak prejudis kepada tertuduh dalam kes ini yang masih dan terus berada dalam jaminan.

“Ia juga demi kepentingan awam kerana membabitkan bekas Perdana Menteri yang perlu diselesaikan seberapa segera,” katanya.

537 dibaca
Berita Harian X