Rabu, 10 Julai 2019 | 12:06pm
BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. NSTP/Hafiz Sohaimi

Dapat duit dulu, surat jaminan kemudian adalah luar biasa - Wan Abdul Aziz

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengarahkan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mengeluarkan pinjaman kepda SRC International Sdn Bhd (SRC) lebih awal sebelum surat jaminan kerajaan dikeluarkan.

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, dalam keterangan di Mahkamah Tinggi, berkata arahan Najib itu diterima melalui satu panggilan telefon kepadanya, bagaimanapun beliau tidak ingat tarikh kejadian.

Melalui panggilan telefon itu, Wan Abdul Aziz yang juga saksi ke-45 pendakwaan berkata Najib mengarahkan Kementerian Kewangan meminta wang dikeluarkan lebih awal, yang akan disusuli dengan jaminan kerajaan secepat mungkin.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim, pada sesi pemeriksaan utama kemudian bertanya kepada saksi sama ada Bekas Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman Pasaran Kewangan dan Aktuari Kementerian Kewangan, Datuk Maliami Hamad, mengetahui berhubung panggilan telefon itu.

Wan Abdul Aziz yang juga bekas Pengerusi KWAP menjawab; “Saya beritahu dia (Maliami) bahawa Najib arahkan Kementerian Kewangan mengeluarkan surat bagi tujuan pengeluaran wang itu. Saya minta Maliami keluarkan surat pada hari sama panggilan dibuat,” katanya.

Ditanya lanjut sama ada pengeluaran wang lebih awal sebelum surat jaminan kerajaan dikeluarkan adalah amalan biasa, saksi itu menjawab, “Ini amalan luar biasa.”

Diminta menjelaskan mengapa ia tetap dilakukan, Wan Abdul Aziz berkata ia berikutan kerajaan menjadi penjamin kepada pinjaman terbabit dan ia diluluskan Kabinet.

“Ia cuma menunggu proses pengeluaran surat jaminan kerajaan,” katanya.

Saksi itu berkata demikian merujuk kepada permohonan SRC untuk mendapatkan pijaman RM3.95 bilion daripada KWAP pada tahun 2011.

Dalam prosiding sebelum ini, Maliami mendedahkan beliau menerima tekanan daripada pelbagai pihak termasuk daripada Najib untuk menyiapkan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) bagi pengeluaran surat jaminan kerajaan bagi pinjaman pertama SRC daripada KWAP pada 2011.

Saksi ke-43 pendakwaan itu berkata, MJM perlu disediakan segera untuk dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet pada 17 Ogos 2011.

Katanya, arahan penyediaan MJM bukan saja datang daripada SRC sendiri tetapi juga daripada Wan Abdul Aziz yang diyakininya menerima arahan daripada Najib.

1376 dibaca
Berita Harian X