Selasa, 9 Julai 2019 | 7:09pm
KETUA Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Pendang, Asisten Superintendan Muhamad Amin Mat Yassin (kiri) memeriksa motosikal Honda EX5 yang dilaporkan hilang di Alor Setar dan ditemui di port dadah di Kampung Tok Leh, Sungai Tiang. NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Motosikal curi ditemui di sarang penagih

PENDANG: Sebuah motosikal Honda EX5 yang dilaporkan hilang di Alor Setar pada April lalu ditemui semula di sarang penagihan dadah dalam kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Alor Tok Leh, Sungai Tiang, hari ini.

Bagaimanapun, nombor pendaftaran motosikal itu sudah ditukar bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang yang melakukan pemeriksaan terhadap nombor casis motosikal itu mengesahkan ia motosikal curi yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, seorang lelaki berusia 33 tahun yang juga penagih menunggang motosikal berkenaan dan memasuki sarang penagihan dadah itu.

Katanya, lelaki itu mendakwa dia tidak mengetahui mengenai motosikal itu dan mendakwa motosikal itu milik adiknya.

“Berikutan itu, dia ditahan untuk siasatan lanjut dan hasil ujian saringan awal air kencing terhadapnya juga mendapati dia positif dadah jenis morfin.

“Suspek ditahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam kes mencuri motosikal serta kes dadah,” katanya.

Dalam operasi yang diketuai Asisten Superintendan Muhamad Amin Mat Yassin dan lima anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pendang itu bermula pada jam 6.30 pagi hingga 2 petang tadi.

Operasi dilakukan di kawasan yang banglo tinggal yang dijadikan lokasi untuk melepaskan gian dan 20 lelaki berusia antara 24 hingga 53 tahun turut ditahan.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua disyaki menagih dadah jenis morfin, syabu dan heroin.

“Beberapa paket kecil dan penyedut minuman disyaki dadah heroin seberat 1.24 gram dan 0.66 gram syabu turut dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dalam operasi itu juga, seorang lelaki cedera di bahagian kepala ketika cuba melarikan diri dengan melompat pagar kawad berduri sebaik menyedari kehadiran polis.

Arriz Sham berkata, tiga dari mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, dua lelaki ditahan kerana positif methamphetamine mengikut Seksyen 15 (1)(a)ADB 1952 termasuk seorang daripadanya dikehendaki polis kerana kes dadah.

Sementara itu, 14 lagi yang ditahan akan diserahkan kepada AADK Pendang dan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

Dalam pada itu, anggotanya turut menahan lima lagi penagih di kawasan kelapa sawit di Kampung Adam Jawa, dekat sini yang turut dijadikan tempat melepaskan gian.

Arriz Sham berkata, seorang daripadanya ditahan polis kerana memiliki dadah, manakala empat lagi ditahan kerana disyaki penagih.

740 dibaca
Berita Harian X