Selasa, 9 Julai 2019 | 4:41pm
Datuk Seri Najib Razak keluar dari kamar mahkamah pada perbicaraan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Permohonan SRC terus ke Najib

KUALA LUMPUR: Syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC) membuat permohonan terus kepada Datuk Seri Najib Razak supaya anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu diletakkan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Bekas Timbalan Ketua Perbendaharaan Dasar Kementerian Kewangan, Datuk Mat Noor Nawi, dalam keterangannya menyifatkan prosedur itu di luar daripada amalan biasa kerana kebiasaannya ia perlu melalui peringkat bawahan terlebih dulu.

Mat Noor, yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim, pada sesi pemeriksaan utama, berkata sebaliknya surat bertarikh 9 Januari 2012, yang dihantar bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, terus ditujukan kepada Najib selaku Perdana Menteri ketika itu.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, saksi ke-44 pendakwaan itu berkata permohonan SRC dikategorikan sebagai proses membuat keputusan daripada pihak atasan iaitu syarikat mengemukakan terus permohonan kepada Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.

“Permohonan ini berbeza, dalam banyak kes, syarikat akan hantar permohonan kepada Kementerian Kewangan untuk sediakan kertas keputusan atau sokongan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP).

“Selepas itu, ia diangkat kepada Menteri Kewangan Kedua dan jika perlu, diangkat lagi kepada Menteri Kewangan...Ini saya kategorikan pendekatan pertama.

“Pendekatan kedua ialah apabila Perdana Menteri memberi nota arahan atas surat dan bersetuju dengan cadangan itu, maka kita laksanakan keputusan itu tanpa perlu mengikut kaedah pertama. Kedua-duanya bergantung kepada Minit iaitu Nota Arahan daripada Perdana Menteri,” katanya.

Menjawab soalan Suhaimi berhubung kategori permohonan SRC, Mat Noor menjawab: “Pendekatan kedua kerana Najib menulis “saya setuju dengan cadangan ini, sila uruskan,”.

Mat Noor, berkata di perenggan kedua dalam surat permohonan Nik Faisal, CEO itu menyatakan “Saya menulis untuk mendapatkan pengesahan Perdana Menteri.”

“Ini dua perkara yang menggambarkan persetujuan sudah dicapai. Sebelum SRC menghantar surat ini, Nik Faisal kemungkinan sudah bincang dengan Perdana Menteri ketika itu (Najib) dan mendapatkan persetujuan secara bertulis.

“Sehubungan itu, beliau perlu menghantar permohonan secara bertulis kepada Najib,” katanya.

Berita Harian X